4 Tahun Hidup Sendirian Terkurung Dalam Kapal Terdampar Tanpa Bekalan Elektrik

Kaherah: Selepas empat tahun hidup terdampar di tengah lautan, pelayar Syria akhirnya dibenarkan meninggalkan ‘tempat tinggalnya’ di Terusan Suez, Mesir.

Episod hitam hidup Mohammed Aisha bermula sejak dia menaiki kapal MV Aman pada Mei 2017 sebelum dinaikkan pangkat ke kepada ketua pegawai kapal itu.

Dua bulan selepas belayar, perjalanan mereka terganggu apabila pihak pelabuhan Mesir menahan kapal kargo itu kerana peralatan keselamatan tamat tempoh.

Mohammed kemudiannya dijadikan taruhan sebagai ‘penjaga sah’ yang membuatkan dia tidak boleh meninggalkan kapal itu sehingga dijual atau dipindah milik kepada orang lain.

Laporan The Middle East Eye menjelaskan situasi itu menjadi lebih buruk apabila pemilik kapal dan kontraktor tidak mampu membeli minyak kerana masalah kewangan.

Akhirnya, Mohammed terpaksa tinggal di MV Aman yang terdampar di terusan itu.

Lama-kelamaan anak kapalnya mula meninggalkan kapal itu.

Katanya, tanpa minyak kapal itu bukan hanya tidak boleh bergerak, tetapi tidak dapat membekalkan kuasa elektrik.

Ia menyebabkan keadaan Mohammed bertambah genting termasuk tinggal dalam persekitaran tidak terurus dengan dikelilingi tikus dan serangga di atas kapal itu.

RIBUT hanyutkan kapal ke pelabuhan berhampiran pesisir pantai dan membolehkan Mohamed berenang ke pantai mencari makanan dan mengecas telefonnya.

“Kamu tidak nampak atau mendengar apa-apa. Macam duduk dalam keranda.

“Lebih menyedihkan, saya tidak dapat pulang melihat ibu yang meninggal dunia pada Ogos 2018.

“Ia membuatkan saya tertekan termasuk terfikir mengakhiri hidup saya,” katanya kepada BBC News.

Menurutnya, nasibnya mula berubah pada Mac tahun lalu apabila kejadian ribut menghanyutkan kapal itu dari pelabuhannya berhampiran pesisir pantai yang membolehkannya berenang ke pantai mencari makanan dan mengecas telefonnya.

Berita mengenai dirinya tersebar dan menjadi tajuk bahan utama berita sehingga dia dibebaskan oleh Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa (ITF) pada Khamis lalu selepas wakil dari organisasi itu mengambil hak penjagaan kapal kargo itu secara sah.

“Apa yang saya rasa? Rasa macam bebas dari penjara.

“Akhirnya saya dapat bersatu dengan keluarga,” katanya.

Wakil ITF Mohamed Arrachedi menyifatkan situasi dialami Mohammed itu satu kes yang sangat mengecewakan yang pernah dikendalikannya.

“Penderitaan yang menghimpit Mohammed dapat dielakkan jika pemilik kapal dan pihak lain yang bertanggungjawab melakukan perkara yang betul sejak awal lagi,” katanya kepada The Middle East Eye.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*