Bintang Bolasepak Cristiano Ronaldo Berjaya Pecah Rekod Sebagai Jutawan Instagram

Sebuah firma pemasaran media, Hopper HQ menobatkan bintang bola sepak, Cristiano Ronaldo sebagai pesohor Instagram paling kaya di dunia kerana boleh mengenakan bayaran sekitar £1.2 juta (RM6.9 juta) kepada pengiklan untuk satu hantaran di akaun Instagram miliknya, lapor akhbar The Sun semalam.

Ini sekali gus menjadikan penyerang Juventus itu mampu mengalahkan pelakon dan bekas legenda gusti, Dwayne Johnson (The Rock) yang mengungguli senarai itu sejak 2017. Anggaran bayaran tersebut berdasarkan bekas pemain kelab bola sepak Real Madrid itu mempunyai bilangan pengikut melebihi 308 juta di platform media sosial tersebut sekali gus angka tertinggi di dunia.

Ronaldo baru-baru ini muncul dalam iklan media sosial  beberapa jenama terkemuka seperti Clear, LiveScore dan Insparya.  Sementara itu, The Rock berada di tempat kedua dengan anggaran bayaran kira-kira £1.1 juta (RM6.3 juta) bagi satu hantaran iklan di Instagram.

Pelakon filem Jumanji berusia 49 tahun itu setakat ini mempunyai lebih 250 juta pengikut Instagram dan berada pada senarai teratas tahun lepas. Manakala, penyanyi pop popular, Ariana Grande pula berada di tempat ketiga dengan anggaran bayaran pengiklanan Instagram kira-kira £1.1 juta (RM6.3 juta) untuk satu hantaran.

Penyanyi lagu Thank U, Next itu mempunyai lebih 248 juta pengikut, sekali gus menjadikannya sebagai penyanyi yang paling ramai pengikut di platform media sosial. Dalam pada itu, beberapa artis dan selebriti lain turut memasuki carta iaitu Kylie Jenner pada kedudukan keempat dengan bayaran £1.08 juta (RM6.2 juta), Selena Gomez (£1.06 juta atau RM6.1 juta), Kim Kardashian (£1.02 juta atau RM5.9 juta), Lionel Messi (£840,000 atau RM4.8 juta), Beyonce (£830,000 atau RM4.8 juta), Justin Bieber (£810,000 atau RM4.7 juta) dan Kendall Jenner (£760,000 atau RM4.4 juta).

kredit kosmo

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*