Bukanlah Dilantik Pemimpin Daripada Kalangan Mereka Yang Fasiq, Pembohong Yang Menipu Rakyat- Presiden PAS

Mereka yang diberikan amanah memimpin, syaratnya ialah kalangan yang erat hubungannya dengan Allah SWT, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau berkata pada masa sama pemimpin tersebut mesti menegakkan ekonomi yang adil, melaksanakan amar ma‘ruf dan nahi munkar, serta berwawasan Hari Akhirat.

“Bukanlah dilantik pemimpin daripada kalangan mereka yang fasiq, pembohong yang menipu rakyat, tidak melakukan amar ma‘ruf dan nahi munkar. Serta hanya berwawasan dunia tanpa mengambil kira perhitungan pada Hari Pembalasan di akhirat kelak,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS yang dimuatnaik di Facebooknya hari ini.

Abdul Hadi berkata perkara itu telah dijelaskan dalam al-Quran menerusi ayat 41, Surah al-Hajj. Ahli Parlimen Marang itu berkata, al-Quran adalah kitab mukjizat ilmu, petunjuk Allah SWT kepada manusia pada akhir zaman dan Rasulullah SAW pula menunjukkan pelaksanaannya yang sempurna, daripada urusan diri, keluarga sehinggalah urusan menegakkan negara yang mewajibkan adanya pemimpin.

“Setiap pemimpin wajib ada secara silih berganti, berpandukan kepada petunjuk Allah SWT daripada Kitab-Nya dan contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Ilmu dalam al-Quran terpelihara dalam penulisan yang tidak putus hingga kini.

“Selepas Rasulullah SAW wafat, urusan kepimpinan dilangsungkan pelantikannya berpandukan kepada petunjuk al-Quran dan Sunnah Baginda SAW. Sehingga setiap ketua negara yang dilantik berbaiah (memberikan kesetiaan) kepada petunjuk tersebut.

“Maka, memilih dan mengikut pemimpin yang tidak berpandukan petunjuk Allah SWT adalah suatu pengkhianatan yang besar dosanya dan kelak akan ditanggung pada Hari Akhirat,” katanya. Katanya lagi, berdasarkan ayat 58 hingga 59 Surah al-Nisa’, ‘Ulil Amri’ ialah para pemimpin yang memenuhi syarat dan para ilmuwan yang memelihara petunjuk Allah SWT dan cara pelaksanaannya yang adil. Abdul Hadi berkata Allah SWT tetap mengekalkan Islam terpelihara melalui ilmu dan pelaksanaannya walaupun kuasa Islam sudah dihapuskan, namun ajaran dan ilmunya tidak mampu dipadamkan cahayanya sekali-kali.

“Bukan alasan lagi, kononnya kini tidak mampu dilaksanakan Islam kerana tiada persediaan dan alasan-alasan lain seperti Islam tidak sesuai pada zaman kini. Namun sebaliknya, secara terus-menerus melaksanakan perkara selain daripada ajaran Islam yang dikatakan lebih baik, walaupun apa yang dilakukan itu gagal menyelesaikan masalah di negara penciptanya.

“Inilah alasan mereka yang melaksanakan agenda musuh Islam yang tidak memberikan tempat dan peluang kepada Islam, atau juga alasan mereka yang buta al-Quran dan jahil ilmunya. Allah SWT memberikan amaran agar jangan terpengaruh dengan golongan ini,” katanya menjelaskan ia sebagaimana Firman Allah dalam Surah al-Ma’idah, ayat 49 hingga 50.

kredit Malaysiapost

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*