Dari Satu Kejadian Demi Kejadian Pasangan Ini Rasa Yang Mereka Kembar, Selepas Jalani Ujian, Ibu Terduduk Bila Tahu Sah Kembar Terpisah 20 Tahun

Beberapa minggu lalu sempat tular kejadian dua pasangan suami isteri yang telah tertukar anak. Baru-baru ini, bagaikan kisah dalam sinetron yang melibatkan tiga orang remaja termasuk sepasang kembar telahpun tertukar selepas dilahirkan di sebuah pusat perubatan Kota Bharu, Kelantan.

Lanjutan daripada itu, insiden tertukar bayi tersebut hanya disedari selepas 20 tahun. Selepas mendapatkan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan yang disahkan pada September tahun lepas, Adryani Iwani Ibeni Yanin, 20 merupakan kembar sebenar kepada Noratirah Husin, 20.

Adryani Iwani Ibeni Yanin, 20, (kiri) bersama Adryana Iwani, 20, (tengah) dan Noratirah Husin, 20.
Sumber: Astro Awani

Menerusi portal Bernama, Adryani Irwani telah mendapat teguran yang mengatakan wajahnya mirip dengan rakan sekolah pelajar sekolah lain iaitu Noratirah. Pada awalnya, kejadian itu mula terbongkar ketika dia berada di Tingkatan Empat sewaktu mengikuti kem motivasi apabila secara tidak sengaja berjumpa dengan pelajar dari sekolah lain.

“Saya kemudian meminta gambar Noratirah daripada pelajar itu sebelum dia berkongsi akaun Instagram Noratirah yang dikatakan, seiras dan sebaya dengan saya”, ujarnya. Apabila saya maklumkan perkara itu kepada kakak, dia menyetujui persamaan ketara pada wajah kami, namun mama (panggilan untuk ibu) berpandangan sebaliknya. Selepas itu, saya tidak ambil peduli dengan perkara tersebut dan menganggapnya seperti pelanduk dua serupa”, memetik laporan daripada Bernama.

Seperti telah ditakdirkan, pertemuan secara bersemuka yang tidak disengajakan di sebuah pasar raya menyebabkan masing-masing terpana apabila melihat persamaan yang ketara dari segi wajah dan tubuh badan.

“Saya terkejut. Sebelum ini hanya dengar daripada kata-kata kawan, ada orang muka sama dengan saya. Sekali tengok, eh…betullah ada orang muka sama dengan saya. Belum pernah lagi saya berhadapan dengan perkara sedemikian”, tambahnya.

Menurutnya, masing-masing hanya berpandangan antara satu sama lain dan berlalu tanpa menyapa akibat terlalu terkejut, namun perkara itu disedari oleh rakan yang lain.

Menariknya lagi, apabila mereka menyambut tarikh lahir yang sama. Hal ini diketahui ketika bulan Ogos tahun lepas apabila seorang rakannya memaklumkan tarikh lahirnya sama dengan Noratirah iaitu pada 19 Ogos, selepas dia memuat naik gambar majlis sambutan hari lahirnya yang diadakan di rumah dalam media sosial.

Bertitik tolak daripada itu, kedua-dua buah keluarga akhirnya bersetuju untuk buat ujian DNA, setelah saling berkongsi maklumat diri yang begitu banyak persamaan.

“Selepas berbincang, kedua-dua keluarga sepakat melakukan ujian DNA di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, bagi mengenal pasti sama ada terdapat pertalian antara kami”, katanya. Ujian DNA itu dilakukan menggunakan sampel darah membabitkan dirinya, ibunya Siti Aminah Ismail, 66, Adryani Iwani, Noratirah dan ‘bapa’ Noratirah, Husin Omar.

Akhirnya keputusan menunjukkan Noratirah adalah pasangan kembar yang sebenar bersama Adryani Iwani. Manakala Adryana Iwana pula anak kandung bagi ‘ibu dan bapa’ Noratirah. “Apabila keputusan keluar, kami amat terkejut terutama mama. Terduduk dan menangis setelah mengetahui keputusan ujian DNA ialah 99.99 peratus menunjukkan saya dan Noratirah ialah pasangan kembar, anak kepada Ibeni Yanin Mohd Salleh dan Siti Aminah”, jelasnya.

“Sebelum ini Adryana Iwani didaftarkan sebagai pasangan kembar merupakan anak kandung kepada Husin Omar dan Rahmah Isa (telah meninggal dunia pada 2018) yang telah membesarkan Noratirah”, katanya lagi.

Sehubungan dengan itu, kakak Adryana Iwani, Ayu Haryani, 42, berkata bahawa ibu mereka memaklumkan, doktor yang bertugas ketika itu tidak pernah memaklumkan sama ada kembar yang dilahirkan adalah seiras atau sebaliknya.

“Namun disebabkan tag nama di kaki kedua-dua mereka nama mama, jadi keluarga kami tidak pernah terfikir mengenai perkara itu dan beranggapan bahawa mereka kembar tidak seiras”, katanya.

Berdasarkan rekod pada sijil kelahiran, Noratirah dilahirkan pada 1.14 pagi, diikuti Adryana Iwani pukul 1.27 pagi dan kemudian Aryani Iwani 1.34 pagi, menurut penjelasan daripada Ayu Haryani. Pada peringkat awal, si ibu begitu sukar untuk terima kenyataan selain risau memberi kesan psikologi yang hebat kepadaa mereka. Difahamkan, mereka sekeluarga telah pun melantik peguam untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang telah melakukan kecuaian.

kredit i am lejen

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*