Elizabeth Tan Sakit Kaki Sebab Kuku Tercabut, Suami Kata Dia Lemah

Sebut saja nama penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan, 28, ramai lelaki yang tertarik satu ketika dulu. Namun, apabila berkahwin pada Mac lalu ‘dikatakan’ ramai juga peminat lelakinya yang kecewa.

Apapun, perkahwinan sama sekali tidak menyekat rezeki Elizabeth atau lebih mesra disapa Lizzy dalam kerjaya seni yang diceburi sejak 2013 lalu. Apatah lagi, suaminya, Dr Siew Jim Ding sangat memberi sokongan.

Elizabeth yang kini membintangi drama Gerak Khas Undercover di TV3 berkata, suaminya juga tidak menghalang dia melakukan aksi agak ngeri sendiri dalam lakonannya tetapi perlu menjaga diri.

“Saya suka filem dan drama aksi kerana begitu tertarik dengan seni bela diri campuran (MMA). Ditambah, saya sendiri amat menggemari aktiviti lasak.

“Bagi saya, status sebagai wanita bukan halangan untuk kita cuba melakukan aksi lasak sendiri. Untuk itu, saya memang rasa puas apabila dapat melakonkan babak aksi sendiri walaupun sedar berdepan risiko kecederaan,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Knock Knock dan Police Entry ini, melakonkan babak aksi adalah cabaran besar buat seseorang pelakon. Selain itu, ia juga memberi ruang dan peluang kepadanya menerokai watak dibawa.

Ditanya adakah dia pernah cedera ketika melakukan babak aksi tanpa bantuan pelakon lagak ngeri, Elizabeth berkata, dia pernah mengalami lebam pada beberapa bahagian badan. Malah, kuku kakinya juga ada yang tercabut.

“Saya suka anggap setiap perjalanan untuk menghidupkan watak dalam lakonan adalah satu pengalaman baharu. Apatah lagi, selepas saya melakonkan watak polis sebagai Inspektor Elly,” katanya.

Mengulas pengalaman berlakon dengan Datuk Rosyam Nor sebagai Tony Bono, seorang penjenayah licik, Elizabeth berkata, dia mulanya berdebar untuk beraksi dengan pelakon berkaliber dan berpengalaman itu.

“Saya mulanya gementar juga apabila mengetahui dapat bergandingan dengan Rosyam. Ini kerana, saya cukup kagum dengan bakat lakonannya dan pengalaman anak seni dimiliki. Maklum saja, saya sendiri masih baharu dalam lakonan.

“Namun, pada masa sama apabila difikir-fikir semula saya anggap diri bertuah kerana dapat beraksi dengan pelakon handalan dan legenda seperti Rosyam. Ketika itulah saya perlu sedia belajar serta menimba ilmu lakonan daripadanya terutama ketika menghayati watak,” katanya.

Menurut Elizabeth, Rosyam juga banyak berkongsi ilmu dan tidak lokek mengajarnya melakonkan babak aksi. Namun, katanya setakat ini dia tidak terbabit dengan banyak babak aksi besar dan boleh dilakukan sendiri.

Ditanya mengenai penerimaan suaminya dengan kecederaan ringan dialami, Elizabeth yang diperkenalkan dalam lakonan pada 2015 berkata, dia hanya ditertawakan.

“Suami saya okey dan tenang apabila ditunjukkan ada kesan lebam pada tubuh akibat cedera kerana melakonkan babak aksi sendiri. Dia tak marah langsung, sebaliknya ketawa dan mengatakan saya lemah,” katanya.

kredit harian metro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*