Connect with us

Islamik

Inilah Sebabnya Islam Menekankan Kepentingan Rahsia Rumahtangga

Published

on

Rumahtangga perlu dibina berasaskan kepada nilai-nilai murni yang cukup sempurna kerana rumahtangga yang sempurna dan bahagia akan mampu menjamin lahirnya suami, isteri, ibu bapa dan anak-anak yang berkualiti.

Untuk itu seharusnya suami isteri membuat persediaan secukupnya berkenaan ilmu rumahtangga untuk diaplikasikan dalam kehidupan berkeluarga. Betapa tidak, rata-rata ibu bapa tidak begitu serius dalam mengendalikan urusan rumah tangga mereka.

Cukuplah sekadar menyediakan makan pakai serta menguruskan persekolahan anak-anak tanpa mementingkan unsur kasih sayang dan merapatkan hubungan antara kesemua ahli keluarga. Kesannya berlakulah kes perceraian yang bukan sahaja melibatkan golongan muda bahkan yang sudah tua.

Malah yang lebih menyedihkan, kerosakan rumahtangga ini menyebabkan pelbagai isu serius timbul seperti penderaan terhadap isteri, anak sumbang mahram dan seumpamanya.

Mengawal Sikap

Kebijaksanaan suami isteri dalam mengendalikan rumahtangga adalah aspek yang paling penting dalam menjaga kerukunan sebuah keluarga kerana di antara unsur yang boleh mengganggu hubungan kasih sayang ialah kegagalan pihak suami atau isteri dalam menjaga rahsia rumahtangga di mana banyak sekali rumahtangga yang kucar-kacir disebabkan suami atau isteri yang bersikap suka menjaja dan menyebarkan rahsia pasangannya kepada orang lain.

Hakikat Rahsia

Hakikat rahsia rumahtangga yang dimaksudkan sebenarnya adalah terbahagi kepada beberapa bentuk yang perlu diketahui kedudukannya seperti:

01: Rahsia khusus:

Rahsia-rahsia khusus adalah hal peribadi yang diminta secara khusus oleh suami atau isteri kepada pasangannya supaya dirahsiakan. Iamam al-Ghazali ada mencatatkan di dalam kitabnya Mukasyafatu al-Qulub tentang beberapa tafsiran ulama mengenai perintah Allah kepada orang-orang mukmin supaya menjaga dan di mana antara amanah itu ialah “satu perkataan atau ayat” yang diamanahkan supaya dijaga dan dirahsiakan. Maka wajib menjaga amanah tersebut.

Begitu juga sesuatu yang dibisikkan kepada pasangan dengan permintaan supaya ia menjadi rahsia antara mereka berdua, maka ia tergolong dalam amanah yang wajib dijaga.

02: Rahsia Yang Menyentuh Keselamatan:

Mungkin ada orang yang memusuhi pasangan kita berniat jahat dan hendak mengkhianati dan menganiayainya. Musuh itu mungkin menyamar dengan meminta daripada kita segala maklumat, latar belakang dan sebagainya. Dalam keadaan ini kita sebagai pasangannya harus cerdik dan bijaksana.

Tersalah memberi maklumat kepada musuh sesungguhnya akan mengundang bahaya kerana sejarah ada mencatatkan tentang kisah isteri Sam’un al-Ghazi yang mendedahkan rahsia kekuatan suaminya kepada pihak musuh hingga menyebabkan nyawa suaminya terancam. Oleh itu janganlah terlalu jujur atau memberi segala maklumat sehingga mendedahkan “rahsia” keselamatan pasangan.

Seboleh mungkin cubalah mengesan helah orang yang berniat jahat terhadap pasangan melalui tutur kata atau perilaku mereka.

03: Rahsia Harta Benda:

Harta benda dan kewangan pasangan juga adalah rahsia yang wajib dijaga dan dipertahankan oleh isteri. Dalam hal ini, isteri terutamanya yang berfungsi sebagai pengurus rumahtangga tentulah orang yang paling berperanan dalam menjaga rahsia rumah tangga yang dibina kerana Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda yang bermaksud:

“Sebaik-baik isteri adalah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila suami melihatnya dan apabila disuruh dia menurut perintahmu, dan ia dapat menjaga kehormatan dirinya dan harta bendamu ketika engkau tiada di rumah.” -{At-Thabrani}

Dalam konteks ini, rumahtangga dan segala isinya adalah dikatakan “harta” dan benteng rahsia keluarga. Adalah menjadi tanggungjawb suami isteri menjaganya dengan sebaik-baiknya. Sehubungan itu, Islam melarang keras orang yang mencuri-curi pandang ke dalam rumah orang lain tanpa mendapatkan keizinan daripada tuan rumah. Sabda Rasulullah SAW:

“Jika ada orang yang menjengok-jengok rumahmu tanpa izin, lalu engkau melontarkan batu kepadanya sehingga pecah matanya, tidaklah engkau berdosa.” -{HR Bukhari dan Muslim}

04: Rahsia Bilik Tidur:

Inilah rahsia yang paling utama dan benteng terakhir rahsia rumahtangga di mana rahsia yang berkaitan hubungan kelamin suami isteri ini hendaklah disembunyikan dan hanya menjadi rahsia antara pasangan kerana adalah haram dan berdosa hukumnya sekiranya salah seorang dari pasangan menghebahkan hubungan mereka kepada pengetahuan, pendengaran dan penglihatan orang lain meskipun anak-anak sendiri.

Itulah sebabnya mengapa Islam mensyariatkan agar dipisahkan tempat tidur anak-anak sejak mereka berusia tujuh tahun serta mengajarkan kepada mereka supaya memberi salam dan meminta izin terlebih dahulu sebelum masuk ke bilik ibu bapa mereka terutamanya pada tiga masa seperti yang disebut di dalam Al-Quran iaitu sebelum Subuh, sekitar waktu Zuhur dan selepas Isyak kerana pada waktu waktu ini kemungkinan suami isteri sedang bersama atau pun mereka sedang berehat, bersantai atau tidur.

05: Rahsia Berhubung Soal Maruah:

Maruah melibatkan aurat, aib dan kelemahan seseorang. Firman Allah SWT yang maksudnya:

“Adapun wanita wanita yang solehah itu ialah wanita-wanita yang patuh (taat) dan memelihara kehormatan dirinya semasa ketiadaan suaminya sebagaimana Allah telah memelihara mereka.” -{An-Nisa:34}

Dalam hal ini banyak perkara boleh berlaku sekiranya pasangan gagal menjaga maruah dirinya seperti:
a: Isteri atau suami berlaku curang terhadap pasangannya.
b: Pasangan mencari hiburan di luar rumah.
c: Pasangan menduakan suami atau isteri.
d: Pasangan menceritakan rahsia rumah tangganya kepada orang lain.

06: Rahsia Berhubung Nafkah:

Dalam hal ini suami adalah wajib hukumnya untuk memberi nafkah atau perbelanjaan untuk isteri dan anak-anaknya. Pemberian ini adalah mengikut kemampuan, tidak sampai dilabelkan sebagai suami yang bakhil dan kedekut atau pun suami yang terlalu boros dan bermewah-mewah.

Pokok pangkalnya seseorang itu wajib memberikan nafkah menurut kemampuannya. Oleh itu permasalahan sara hidup hendaklah dibincangkan sebaiknya dengan pasangan agar tidak menganiayai diri sendiri, isteri mahu pun anak-anak. Malah elakkan daripada menjadi topik perbualan atau pun umpatan orang lain lantaran kegagalan kita menyimpan rahsia tersebut.

Jika Sudah Terpaksa

Sikap saling memahami dan berlapang dada (sabar) adalah yang paling utama mesti ada di dalam jiwa setiap individu yang menjadi suami atau isteri. Tidak seharusnya mana-mana pihak, suami atau isteri bertindak meluahkan perasaan dan menceritakan rahsia pasangan kepada orang luar sebelum cuba menyelesaikan masalah itu dengan jalan perbincangan melainkan tidak ditemui jalan penyelesaian lain sehingga rahsia rumahtangga terpaksa diluahkan kepada pihak ketiga.

Contohnya sebagaimana peristiwa yang telah berlaku di zaman Rasulullah SAW di mana seorang wanita mengadu kepada baginda bahawa dia telah dipukul oleh suaminya.

Pada awalnya, Rasulullah SAW memutuskan bahawa suaminya boleh dikenakan qisas (pukul dibalas pukul), tetapi pada ketika itu juga telah turun wahyu yang membolehkan suami memukul isterinya dalam keadaan tertentu iaitu dengan tujuan mendidik (bukan memukul untuk menyakitkan atau memukul kerana geram).

Secara tidak langsung, wanita tadi telah membocorkan rahsia rumahtangganya dengan menceritakan keburukan suaminya kepada pihak ketiga iaitu Rasulullah SAW.

Maka dalam kes seumpama ini, tidak menjadi kesalahan bagi isteri (atau suami) untuk membuka rahsia rumahtangganya kerana ia dibuat demi kepentingan atau kebaikan rumah tangga itu sendiri. Iaitu apabila timbul masalah dalam hubungan suami isteri yang tidak dapat diselesaikan melalui perbincangan bersama, dan pihak suami atau isteri merasakan bahawa dia sudah tidak mampu menghadapinya, maka satu jalan penyelesaian perlu diambil dengan melibatkan ‘orang luar’, dengan kata lain, rahsia rumah tangga terpaksa dibuka ke pengetahuan seseorang.

Maka beberapa perkara harus diambil kira iaitu:

a: Merujuk Kepada Orang Yang Sesuai

Andainya sudah bulat tekad untuk membawa soal dalaman rumahtangga kepada orang lain, maka haruslah dirujuk kepada orang yang tepat kerana bukan sebarangan orang boleh menjadi tempat mengadu masalah apalagi jikalau ia melibatkan perkara sulit. Maka pastikanlah bahawa orang yang diadu itu adalah orang yang amanah, boleh dipercayai, memiliki sifat adil mudah dipengaruhi emosi, tenang dan berwatak pendamai.

Jika tidak, dia mungkin menjadi penghasut dan pengusut masalah. Tidak kira sama ada ia merupakan teman rapat atau pun seorang kaunselor yang berpengalaman, yang penting di boleh membantu dalam memberi pandangan dan nasihat, atau menjadi orang tengah dalam membetulkan hubungan dua hala antara suami isteri yang tergendala.

b: Membuka Rahsia yang sesuai

Kita harus ingat bahawa orang yang diadu itu tetap merupakan ‘orang luar’ dalam konteks sesebuah rumahtangga. Oleh itu apa jua rahsia yang mahu diceritakan kepadanya harus dibataskan kepada hal-hal yang berkaitan dengan masalah yang dihadapi sahaja. Tidak lebih daripada itu. Jangankan disebabkan pengaruh emosi, kita membuka segala rahsia pasangan.

c: Merujuk kepada Hakam

“Hakam” adalah wakil daripada kedua-dua pihak suami dan isteri di mana pihak lelaki diwakili seorang hakam, begitu juga dengan pihak wanita. Adakalanya mahkamah sendiri yang akan melantik hakam tersebut di mana kedua-dua hakam ini berfungsi sebagai pendamai untuk membantu menyelesaikan kes yang dihadapi.

Hal ini disebutkan melalui firman Allah SWT yang maksudnya:

“Dan jika kamu khuatirkan ada persengketaan antara kedua-duanya (suami isteri), maka kirimlah seorang hakam dari keluarga lelaki dan seorang hakam dari keluarga perempuan.” -{An-Nisa’:35}

Kedua-dua hakam ini akan melakukan ‘soal selidik’ ke atas suami atau isteri dalam sesi berasingan, untuk mengetahui punca dan kedudukan masalah. Di sinilah pentingnya peranan hakam yang dipilih itu yang mesti memiliki sifat sebagai orang yang boleh dipercayai, bijaksana dan adil, boleh menyimpan rahsia, bijak bertindak dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Dalam hal ini, suami mahupun isteri harus memberi kepercayaan kepada hakam di mana sedikit sebanyak rahsia rumahtangga mereka terpaksa diluahkan. Kemudian kedua-dua hakam ini akan bertemu untuk mencari penyelesaian.

Andainya didapati tidak ada lagi titik temu antara kedua-dua suami isteri, kedua-dua hakam harus sepakat untuk membuat keputusan memisahkan mereka dengan cara baik di mana ia perlu dirujuk kepada mahkamah.

d: Merujuk kepada mahkamah

Ini merupakan peringkat terakhir di mana jalan penyelesaian melalui perbincangan dan melalui kaunselor atau orang tengah “hakam” tidak lagi membuka sebarang harapan untuk perdamaian. Di sini mahkamah boleh membuat keputusan ke atas masa depan rumahtangga tersebut di mana rahsia rumahtangga terbabit terpaksa disingkap di hadapan hakim atau mahkamah.

Mengambil Iktibar:

Teladanilah kisah-kisah yang pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW seperti kebijaksanaan saiditina Khadijah RA dalam menjaga rahsia kerasulan Rasulullah iaitu selepas menerima wahyu pertama di Gua Hira’ di mana beliau telah bertindak bijak dengan menceritakan peristiwa itu hanya kepada orang tertentu untuk mendapatkan pandangan dan tidak merujuk kepada sebarangan orang tetapi memilih orang yang telah dikenal pasti layak menjadi tempat rujuk dan boleh menyimpan rahsia. Orang itu adalah sepupunya sendiri, Waraqah bin Naufal, seorang alim yang masih berpegang pada ajaran tauhid.

Rahsia ini disimpan kemas sehinggalah Rasulullah SAW sendiri menerima perintah untuk pergi ke tengah masyarakat menyampaikan amanah wahyu yang diterimanya.

Kesimpulannya, biar apa pun masalah yang dihadapi termasuklah hal rumah tangga, selaku seorang Islam hendaklah kita sentiasa mengingati Allah dan memohon bantuan daripadanya. Kerjakanlah solat istikharah dan solat hajat sebelum membuat apa jua keputusan agar diberi hidayah dan kekuatan. Di samping itu ambillah iktibar daripada hitam putih kehidupan masyarakat sekeliling kita. Bak kata pepatah “Yang baik, jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.”

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Islamik

12 Tahun Mak Meninggal, Jenazah Mak Masih Elok dan Cukup Sifat

Published

on

12 Tahun Mak Meninggal, Jenazah Mak Masih Elok dan Cukup Sifat

Sesungguhnya m4ti itu pasti dan setiap yang bernyawa pasti merasai m4ti. Namun, bagaimanakah kem4tian kita? Tiada siapa yang tahu. Semuanya bergantung kepada amalan kita di dunia ini sebagai hamba yang Maha Kuasa.

Seorang wanita yang dikenali sebagai Amina Jasmine telah berkongsi sebuah kisah mengenai ibunya yang sarat dengan pengajaran untuk dijadikan pedoman hidup. Kisah mengenai jasad ibunya yang masih terpelihara dan tidak berbau walaupun sudah dikebumikan 12 tahun lalu. Jom kita ikuti perkongsiannya dibawah.

Alhamdulillah selesai pemindahan kubur mak.

12 tahun mak pergi mengadap Illahi. Jenazah mak elok, masih dlm keadaan kiam. Kain kafan mak tak koyak, bantal dan tali masih ada. Susuk badan mak jelas dipandangan mata kami yang menyaksikan tadi. Cukup sifat dan tak berbau. Allahuakhbar, Maha Suci Allah.

Dia wanita yang lembut. Tak suka mengata org lain, tak suka menc3rca orang lain. Mak sangat mudah mengalirkan air mata. Hatinya bak tisu mudah terkoyak. Setiap c3rca orang mak balas dengan senyuman dan air mata. Dengan suami mak bersabar.

Dan siapa sangka dalam kepadatan Tanah Perkuburan Bukit Alip, mak dapat dikebumikan sebelah ku bur arwah ayah. Maha Suci Allah.

Setelah 12 tahun mak pergi, Allah beri aku ‘sesuatu’, tentang hidup ni, hati ini dan keinsafan ini. Cari redha Allah.

Tali kain kafan mak setelah 12 tahun. Masih elok tak reput berada disisi m4yat.

Mayat Tidak Hancur Tanda Allah Redha?

Tidak kurang kisah penyebaran peristiwa ajaib seperti mayat seseorang yang telah meninggal dunia dikalangan masyarakat kita. Kisahnya bermacam versi, kebanyakkan adalah kisah setelah lama kematian seseorang itu lalu kuburnya digali semula didapati mayatnya tidak reput dan tidak hancur malah seakan-akan baru sahaja ditanam. Fenomena ini dikenali sebagai incorruptible body. Lalu hasil dari kejadian sebegitu, ramai orang menyandarkan peristiwa itu adalah petanda Allah menjaga jasad tersebut. Lalu mereka akan mengaitkan bahawa individu ini dahulunya adalah seorang huffaz yang menghafal al Quran, orang soleh, atau orang yang baik-baik dan sebagainya.

Peristiwa mayat tidak reput ini tidak dinafikan sememangnya berlaku. Malah di dalam sebuah hadis nabi Muhammad SAW menyebut:

اَفْضَلُ اَيَّامِكُمُ الْجُمْعَةُ فِيْهِ خُلِقَ آدَمُ وَ فِيْهِ قُبِضَ وَ فِيْهِ النَّفْخَةُ وَ فِيْهِ الصَّعْقَةُ فَاكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلاَةِ فَإِنَّ صَلاَتَكُمْ مَعْرُوضَةٌ عَلَيَّ قَالُوا وَ كَيْفَ تُعْرَضُ صَلاَتُناَ عَلَيْكَ وَ قَدْ اَرمَتَّ يَقُولُونَ بَلِيْتَ فَقَالَ اِنَّ اللهَ حَرَّمَ عَلَى الْأَرْضِ اَنْ تَأْكُلَ اَجْسَادَ الْأَنْبِيَاءِ

“Hari yang paling utama adalah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan, pada hari itu dia meninggal, pada hari itu sangkakala ditiup dan pada hari itu terjadi kiamat, maka perbanyaklah kalian berselawat kepadaku di hari itu, kerana selawat kalian akan diperlihatkan kepadaku”). Para sahabat bertanya, “Bagaimana selawat kami diperlihatkan kepadamu padahal kamu telah menjadi debu?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Allah ta’ala telah mengharamkan bumi dari memakan jasad para Nabi.”

Hadis di atas diriwayatkan oleh Said bin Manshur, Ibnu Abu Syaibah, Ahmad dalam Musnad-nya, Ibnu ‘Ashim dalam bab berselawat, Abu Daud, al-Nasa’i dan Ibnu Maajah dalam kitab sunan mereka, al-Thabrani dalam kitab Mu’jam-nya, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim dalam kitab Shahih mereka, dan al-Baihaqi dalam Hayat al-Anbiya’ dan Syu’ab al-Iman dan karangannya yang lain.

Perlu diketahui hadis, “Sesungguhnya Allah ta’ala telah mengharamkan bumi dari memakan jasad para Nabi.”, telah datang dari jalan yang banyak yang dikumpulkan oleh al-Hafiz al-Mundziri dalam bahagian khusus dan dia berkata dalam al-Targhib wal Tarhib, “Hadits tersebut diriwayatkan oleh Ibnu Maajah dengan sanad yang jayyid (sangat bagus) dan diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, Ibnu Hibban dalam kitab shahihnya dan al-Hakim, dan dia juga menshahihkan hadits tersebut.”

Dalil hadis hanya mengkhususkan bahawa jasad para nabi sahaja dijaga dan tidak dimakan oleh tanah. Sememangnya jasad para nabi akan dijaga berdasarkan hadis ini, dan hadis ini tidaklah mengkhususkan bahawa kesemua jasad yang tidak dimakan tanah itu kesemuanya adalah jasad para nabi kerana terdapat juga jasad-jasad yang lain turut tidak dimakan oleh tanah. Ini kerana dalam konteks hadis ini tidak juga memberi isyarat bahawa perkara itu tidak berlaku kepada orang lain. Malah ia juga berlaku kepada orang yang Allah murkai.
Malah fenomena ini juga berlaku kepada mana-mana manusia di dunia ini. Jika dilihat di negara-negara lain juga terdapat kejadian seperti ini. Tetapi untuk menyandarkan peristiwa ini semata-mata sebagai penanda aras mayat itu diredhai oleh Allah adalah suatu yang perlu berhati-hati.

Sedangkan hal tersebut juga terjadi kepada orang jahat yang dilaknat oleh Allah sepertimana Firaun, firman Allah yang bermaksud:

“Maka pada hari ini Kami selamatkan badanmu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudahmu dan sesungguhnya kebanyakan dari manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami.” (Yunus: 92)

Jika ingin dikatakan jasad yang ditanam tidak reput dan rosak dimamah tanah itu adalah petanda aras adalah kebenaran kepada agama, maka bagaimana pula dengan jasad firaun juga yang dipelihara oleh Allah sehingga kekal pada hari ini? Begitu juga dengan peninggalan mayat-mayat di Pompeii yang diselaputi dengan letusan gunung berapi yang masih tersisa sehingga hari ini, adakah peninggalan itu menjadi tanda aras Allah meredhai mereka?

Begitu juga hal ini menjadi modal yang dijaja oleh penganut Kristian di Barat terutama denominasi Katolik. Mereka memiliki banyak koleksi mayat dari kalangan paderi (saint) yang tidak reput malah diletakkan di dalam bekas kaca untuk ditonjolkan kepada orang ramai bahawa paderi itu merupakan orang baik dan mayatnya itu dirahmati oleh Tuhan. Antaranya adalah St. Luigi Orione, St. John Neumann, St. Pio da Pietrelcina, St. Bernadette Soubirous dan banyak lagi.

Malah terdapat ramai tokoh agama yang saling mengejar peristiwa seperti ini untuk dijadikan sebagai penanda aras bagi kebenaran dan keredhaan Tuhan berpihak kepada mereka.

Kita tidak menafikan kuasa Allah dalam menguruskan alam ini. Apa yang mahu dibawa dalam perbicangan ini adalah perlunya mengubah cara berfikir dengan menyandarkan sesuatu perkara itu dengan aras ‘kebenaran’ dan ‘keredhaan’ Allah. Sedangkan kejadian Allah menjaga mayat seseorang dengan petanda Allah meredhainya itu tidak disebut khusus di dalam nas kecuali mengenai jasad para nabi sahaja.

Akan tetapi, masyarakat kita menyebar peristiwa itu seakan agama yang bercakap soal ukuran aqidah keimanan itu. Oleh itu membina pemikiran yang bebas dari sangkaan dan sikap rasa-rasa dalam beragama bukanlah sesuatu yang mudah untuk melawan arus masyarakat yang sedia terjinak dengan perkara-perkara ajaib ini. Terutama untuk membezakan diantara perkara itu berlaku bukan sebagai petanda aras kebenaran semata-mata. Perkara ini perlu diperhalusi dan jangan dirangkul pukal sekali bahawa ia adalah dalil semata-mata untuk kita.
Oleh itu untuk kembali berdiri dengan aqidah yang dibawa oleh al Quran dan Hadis adalah penting untuk membina pemikiran yang berhati-hati terhadap perkara yang melibatkan dengan sentimen keimanan.

Sumber : Amina Jasmine

Continue Reading

Islamik

Rezeki Datang Mencurah-Curah Bila Kita Amalkan Menyuap Isteri & Anak Makan

Published

on

Rezeki Datang Mencurah-Curah Bila Kita Amalkan Menyuap Isteri & Anak Makan

Semasa pergi ke hospital semalam, datang seorang lelaki yang baik mengajak saya duduk berbual kerana dia ada masalah. Dia bercerita yang kehidupan keluarganya sangat sempit dan tidak tenteram. Asyik bergaduh saja dan rasa sakit jiwa.

“Saya dah usaha macam-macam cara dah. Tak tahu nak buat macam mana dah,” katanya.

“Abang makan, ada suapkan makanan dalam mulut isteri tak?” saya tanya.

“Tak pernah ustaz,” jawabnya.

“Abang pernah menyuap makanan ke dalam mulut anak-anak tak?” soalan saya kemudian dijawab dengan jawapan yang sama.

“Orang dulu-dulu tak adalah kaya sangat tetapi kehidupan keluarga penuh dengan kasih sayang, rezeki pun cukup saja, rasa tenang dan berkat. Sebab janji Allah dengan menghargai keluarga, rezeki bertambah.

Sekarang? Dah banyak keluarga yang tak makan sekali apatah lagi suami menyuap isteri dan anak-anak. Ada yang masih makan bersama tetapi sambil makan, tangan sibuk melayan handphone, mata sibuk melayan tv. Ya Allah.

“Bila isteri makan dari tangan kita, terasa bahagia sangat. Bila kita menyuap isteri makanan kerana cinta, kerana Allah walaupun cuma beberapa suap, terasa nikmatnya. Buat pula tergigit jari sikit. Hehe! Sunnah berjemaah.
Juga makan satu bekas yang sama. Sekarang satu dulang rumah saya, kami makan berlima. Kadang-kadang anak pula berebut nak menyuap makanan ke mulut mak dan ayahnya sekali sekala.

“Cuba abang amalkan menyuap isteri dan anak-anak. Orang yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi. Kasihilah keluarga, lihatlah bagaimana rezeki datang mencurah-curah,” jelas saya padanya.

“Baiklah ustaz. Saya nampak itulah jalan yang saya tidak pernah fikir. Rezeki datang bila kita berkasih sayang dan menghargai keluarga,” katanya.

Bila isteri suapkan saya, terasa best sangat nikmat. Ya Allah, inilah nikmat dunia ini. Ya Allah, berilah kami terus dapat menikmatinya dan bersama dalam syurga.

Oleh: Ustaz Ebit Lew

Continue Reading

Islamik

6 Jenis Penat Yang Meletihkan Tapi Tinggi Pahalanya Di Sisi Allah. No 3 Yang Paling Besar Ganjarannya

Published

on

6 Jenis Penat Yang Meletihkan Tapi Tinggi Pahalanya Di Sisi Allah. No 3 Yang Paling Besar Ganjarannya

Ada orang penat kerana kerja seharian, ada yang penat belajar, bahkan ada yang penat kerana tengah sarat mengandung. Dan macam-macam lagi jenis kepenatan yang dirasai oleh kita. Lain orang pasti lain pengalamannya dan ujian yang perlu ditempuh.

Namun, jika apa yang anda lakukan itu adalah kerana diri sendiri, agama dan juga untuk Allah, pasti akan ada ganjaran yang Allah berikan. Sedarkah anda, setiap kepenatan dan peluh yang dilalui itu ada jenisnya yang disukai Allah? Ada diceritakan melalui beberapa dalil mengenai jenis kepenatan yang disukai Allah, antaranya;

1. Penat Dalam Mengajak Kepada Kebaikan

Dalam kita menegur atau berdakwah ke arah kebaikan, tidak semua orang suka kepadanya. Ada yang akan mengambil masa yang lama untuk menerimanya dan ada juga yang langsung tidak mengendahkan apa yang kita sampaikan.

Jangan berputus asa! Yang paling penting ialah kita sendiri yang perlu sentiasa sabar dan terus berdakwah ke arah kebaikan. Walau kita penat kerana apa yang dilakukan itu kadang-kadang sehingga boleh menimbulkan kecaman, namun percayalah setiap usaha yang dilakukan amatlah disukai Allah.

Mafhum: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh.” (Surah Fussilat, 41:33)

2. Penat Dalam Beribadah

Hati manusia itu sentiasa berbolak-balik. Ada masa-masanya mungkin perasaan suka akan beribadat itu boleh diganti dengan perasaan yang lesu dan lemau. Apabila berada dalam situasi ini, salah satu sebabnya adalah kerana penat. Penat dalam beribadah ialah penat yang disukai Allah. Kerana kita telah meletakkan tenaga kita kepadaNya.

Jangan risau. Perasaan itu boleh sembuh jika kita tidak memaksa. Cuba untuk berehat dan cari balik motivasi untuk beribadah.

Mafhum: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan).” (Surah Al-Ankabut, 29:69)

3. Penat Mengandung, Melahirkan Dan Menyusukan

Wanita yang mengandung, melahirkan dan menyusu anaknya akan mengalami kepenatan dan kesakitan yang hanya dilalui oleh mereka. Betapa hebatnya wanita sehingga Allah memberi kekuatan kepada mereka sedemikian rupa.

Kepenatan yang dialaminya itu merupakan salah satu perkara yang disukai Allah kerana ia adalah pengorbanan yang luar biasa yang dilakukan untuk melahirkan khalifah di muka bumi. Hatta, ibu bapa yang penat membesar dan mendidik anak juga akan diberi ganjaran pahala yang tidak ternilai.

Mafhum: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusuinya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun.” (Surah Luqman, 31:14)

4. Penat Dalam Mencari Nafkah

Mencari nafkah dan rezeki itu adalah perkara yang dituntut bahkan ia adalah keperluan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Sama ada yang bekerja dari awal pagi sehingga lewat malam atau yang bekerja secara shift, semuanya pasti ada kepenatan sendiri yang perlu dilalui.

Namun, percayalah jika ia adalah rezeki dan nafkah yang halal, maka ia adalah sesuatu yang disukai Allah.

Mafhum: “Kemudian, setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).” (Surah Al-Jumu’a, 62:10)

5. Penat Dalam Menuntut Ilmu

Apabila kita lihat cabaran-cabaran yang dilalui mahasiswa hari ini, ujiannya adalah pelbagai. Ditambah pula dengan episod COVID-19 yang perlu dilalui. Ada yang berjaga malam untuk menyiapkan tugasan, ada yang perlu menghabiskan wang untuk keperluan pelajaran dan sebagainya.

Itu semua adalah asam garam dalam belajar. Kepenatan ini, jika ia membuahkan hasil suatu hari kelak pastinya akan membuatkan anda mampu mengukir senyum lebar dan merasa berbaloi dengan kesusahan yang dialami itu.

Mafhum: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyyin (yang hanya menyembah Allah dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi kitab Allah itu dan kerana kamu sentiasa mempelajarinya.” (Surah Ali-Imran, 3:79)

6. Penat Dalam Urusan Keluarga

Menggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa mahupun kakak atau abang merupakan salah satu amanah yang perlu dijalankan dengan baik. Tidak semestinya tugas menjaga keluarga itu jatuh di atas bahu orang tua sahaja, namun juga kepada anak-anak.

Setiap keluarga itu pasti mempunyai ombak dan badai yang perlu diharungi. Bukan hari-harinya disinari pelangi. Justeru, walau penat menjengah, jangan pernah berputus asa dengan ujian itu.

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala).” (Surah At-Tahrim, 66:6)

Continue Reading

Trending