“Kalau Dulu, Mayat Berbungkus Berselang-Seli..” Pegawai Hospital Dedah Keadaan Terkini Yang Membuatkan Kakitangan Hospital Semakin Lega

“Kalau dulu, mayat berbungkus berselang-seli dengan katil pesakit hidup dan kanvas memenuhi segenap ruang dan laluan di ED (Jabatan Kecemasan). Sekarang dah nampak lantai. Demikianlah perkongsian seorang Pakar Anestesiologidi Hospital Kuala Lumpur, Dr Hana Hadzrami menerusi laman Facebooknya pada Sabtu lalu.

“Kami di Lembah Klang sudah mulai nampak titik cahaya di hujung terowong yang gelap. Samar-samar tapi penuh harapan,” coretnya yang percaya perkembangan positif itu adalah berikutan peningkatan jumlah vaksinasi dalam kalangan rakyat Malaysia. Terangnya, seiring dengan perkembangan itu, kes rujukan dari Jabatan Kecemasan kepada Unit Rawatan Rapi (ICU) buat pesakit COVID-19 kritikal turut berkurangan.

“Kalau dulu, panjang senarai menunggu di papan tulis ICU, dengan kertas bersambung-sambung sebab tak cukup ruang. Sekarang dah nampak sedikit ruang,” kongsinya.

Sebagai tambahan, menurut beliau lagi, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 dalam kalangan warga emas juga semakin menurun sejak awal bulan lalu, sementara majoriti pesakit COVID-19 yang datang menerima rawatan di hospital terbabit sejak minggu lepas rata-ratanya terdiri daripada warga asing. Lanjutnya, biarpun jumlah pesakit kategori ringan masih ramai, namun mereka cuma memerlukan pemantauan dan rawatan di wad sahaja.

“Ada juga pesakit COVID kritikal dalam kalangan yang divaksinkan namun mereka sembuh sangat cepat berbanding yang tak divaksinkan langsung,” tambahnya. Namun, menurut Dr Hana Hadzrami lagi, jumlah pesakit COVID-19 di ICU HKL masih ramai susulan hasil kemasukan pesakit sejak sebulan lepas berserta jumlah kes kematian sebelum tiba ke hospital.

Sebelum mengakhiri coretannya, beliau turut menyeru orang ramai agar terus berusaha dan bertawakal dalam memerangi wabak COVID-19 menerusi pengambilan vaksin.

“Tak sabar nak jadi macam Sarawak. Di sana pesakit COVID kritikal di ICU hanya tiga orang – sejajar dengan kelajuan dan keluasan kadar vaksinasi mereka,” tulisnya.

kredit syok

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*