Kalau Malaysia Menjadi Seperti Sekarang, Tun Mahathir Dakwa Tidak Akan Letak Jawatan Pada Tahun 2002

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, jika tahu apa yang akan berlaku dalam pentadbiran di Putrajaya, beliau rela meneruskan penggalnya sebagai perdana menteri ke-4. Berucap di pentas maya sempena Persidangan Kepimpinan Asia 2021, beliau meluahkan kekecewaan terhadap prestasi kepimpinan sedia ada dan mendakwa kerajaan menyalahgunakan kuasa untuk melakukan perkara tidak betul.

“Tetapi sudah tentu kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan,” katanya yang menyifatkan negara selepasnya ditadbir ‘kleptokrasi’. Mahathir berkata, selepas berjaya menjadikan Malaysia sebagai Harimau Asia ketika mentadbir negara selama 22 tahun, beliau berpandangan mana-mana pemimpin yang menggantikannya harus meletakkan kepentingan negara berbanding agenda peribadi.

“Namun apa yang berlaku sebaliknya,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu tanpa menamakan mana-mana individu. Mengulas situasi Covid-19 di seluruh dunia, Mahathir berkata, negara kaya dan berkemampuan harus menunjukkan empati dengan menghulurkan bantuan kepada negara miskin dalam proses pemulihan.

Katanya, ketika dunia berdepan pandemik yang tidak pasti pengakhirannya, negara kuasa besar seharusnya menghentikan pencerobohan ketenteraan terhadap negara serantaunya. “Harus diingat, virus ini tidak membezakan antara penyerang dan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, dunia akan benar-benar pulih selepas negara kaya dan miskin mampu bangkit semula. “Jika separuh kekal ‘sakit’, tiada jaminan ia tidak akan mengheret separuh lagi ke dalam kehancuran yang berpanjangan.” Bagaimanapun katanya, kejayaan program pemulihan itu bergantung pada kualiti kepimpinan setiap negara. Sekiranya mereka mempunyai integriti, kejujuran, keikhlasan dan benar-benar prihatin terhadap nasib bangsanya, separuh pertempuran akan dimenangi.”

kredit tun carlos

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*