Lisa Surihani Dedah Siti Sarah Menyarankannya Mengamalkan Perkara Ini Setiap Pagi Agar Rezeki Sentiasa Melimpah Ruah

Amalan berguna dikongsi penyanyi popular, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin akan menjadi panduan kepada pelakon, Datin Lisa Surihani. Mendedahkannya, Lisa berkata, arwah menyarankan mendengar surah al-Waqiah setiap pagi bagi memperoleh manfaat dalam kehidupan.

“Ini antara memori yang membuatkan saya terkesan membabitkan arwah dan suaminya, Shuib Sepahtu. Mereka pernah berkongsi amalan mendengar surah al-Waqiah dalam media sosial. Amalan ini dilakukan Shuib sebelum pergi ke konti radio, setiap pagi. Justeru, saya sempat bertanyakan mengenainya apabila arwah menjadi tetamu program yang dikendalikan saya bersama suami.

“Arwah menyarankan saya melakukan amalan mendengar surah ini setiap pagi kerana terlalu banyak manfaat dalam hidup,” katanya kepada BH Online. Isteri pelakon dan pengarah, Datuk Yusry KRU berkongsi pengalamannya bersama arwah pada majlis tahlil dan bacaan Yassin secara virtual, semalam.

Majlis dihadiri lebih 600 tetamu dianjurkan khusus untuk arwah Siti Sarah yang menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada jam 5.13 pagi, semalam.

Allahyarham Siti Sarah dan Shuib mengamalkan mendengar surah al-Waqiah, setiap pagi. Bintang filem Legenda Budak Setan dan Istanbul Aku Datang itu berkata, apa yang membuatkannya kagum adalah keyakinan arwah terhadap amalannya itu.

“Sifat dan keyakinan arwah mengenai kalamullah menerbitkan rasa kagum saya terhadapnya. Arwah percaya jika saya mengamalkannya, satu perubahan besar akan berlaku dalam hidup. Kita lihatlah sendiri pengakhiran hidup arwah yang begitu manis,” katanya. Menzahirkan simpati atas apa yang berlaku, Lisa percaya, Shuib tabah mengharungi kehidupan bersama anak-anaknya.

“Saya tahu Shuib kuat. Kerana ia datang dari semangat arwah Siti Sarah yang kuat,” ungkapnya. Selain Lisa, majlis tahlil dan bacaan Yassin secara virtual turut disertai rakan selebriti seperti Liza Hanim, Nabil Ahmad, Sharnaaz Ahmad, Fad Bocey, Zul Huzaimy, Mark Adam, Datuk Fizz Fairuz dan ramai lagi.

kredit berita harian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*