Paku Pasak Alam Sedang Diangkat Satu Persatu! Januari 2021 Saja dah 15 Ulama Telah Pergi Menghadap Ilahi!

Awal 2021, kita kehilangan 15 ulama nasional, yang berjuang di penjuru tanah air. Sebelumnya, pada 2020, kabarnya ada 208 ulama yang telah lebih dahulu Allah panggil. Semoga semua ulama kita ditempatkan di surganya Allah Subhana wa ta’ala😭🤲

Berikut 15 ulama yang telah berpulang:

  1. Habib Ja’far bin Muhammad Al Kaff Kudus (1 Januari 2021)
  2. KHR. Muhaimin Asnawi – PP Al Asnawi Magelang (1 Januari 2021)
  3. KHR. Abdullah Nachrowi – PP Ash-Shogiri Bogor (2 Januari 2021)
  4. KHR. Muhammad Najib Abdul Qodir Munawwir – PP Al Munawir Krapyak (4 Januari 2021)
  5. Drs.M.Sai, M.HI – PP Nurul Yakin Malaka (5 Januari 2021)
  6. KH. Muhammad Nuruddin A.Rahman – PP Al Hikam Bangkalan (9 Januari 2021)
  7. Habib Abubakar bin Salim Al Hamid Bondowoso – (9 Januari 2021)
  8. KH. Zainuddin Badrus – PP Al Hikmah Kediri (10 Januari 2021)
  9. KH. A. Yasin Asmuni – PP Hidyatut Thullab (11 Januari 2021)
  10. Drs.H.Ibnu Hazen – LTMNU (12 Januari 2021)
  11. KH. Muchsin Noor – PP. AL Muslimun Cianjur (13 Januari 2021)
  12. Syekh Ali Saleh Mohammed Ali Jaber (14 Januari 2021)
  13. Habib Tohir bin Yahya (14 Januari 2021)
  14. Habib Ali bin Abdurrahman Assegaf (15 Januari 2021)
  15. KH. Abdul Hamid – PP Mambaul Ulum Madura (15 Januari 2021)

Sumber : https://www.facebook.com/Ailieyfaizalforever8783 via Majlis Ilmu

ULAMA DIM@TIKAN BERSAMA ILMUNYA

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

PEREDARAN zaman menunjukkan peranan ilmu semakin berkembang dan cerdik pandai semakin bertebaran di atas muka bumi. Perkembangan ini boleh dilihat melalui kemunculan sekolah dan pusat pengajian tinggi bagi menampung keperluan cerdik pandai yang semakin ramai dikeluarkan.

Pada hari ini, seluruh dunia memperkatakan mengenai kemunculan ramai alim ulama dalam pelbagai disiplin ilmu. Namun, baginda Nabi SAW mengingatkan semua manusia bahawa pada satu ketika nanti ilmu akan diangkat oleh Allah SWT sebagai tanda hampirnya kiamat.

Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu sekali gus daripada hamba-Nya, tetapi Dia mencabut ilmu itu dengan mematikan para ulama, sehingga tiada lagi ulama yang tinggal. Pada saat itu, manusia akan mengangkat pemimpin daripada kalangan orang yang bodoh. Dan ketika pemimpin itu ditanya sesuatu, maka akan keluar daripadanya fatwa yang tidak berasaskan ilmu sehingga mereka tersesat dan menyesatkan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis itu, terdapat satu bentuk gambaran yang besar mengenai situasi ilmu yang sedang pesat berkembang pada hari ini. Menghampiri kepada tibanya hari kiamat, ilmu berkaitan dengan agama dan syariah akan diangkat oleh Allah SWT melalui guru, pendidik dan ulama yang dimatikan bersama ilmu yang ada padanya.

Ilmu merupakan suatu maklumat dan pengetahuan yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi yang seterusnya. Namun, sekiranya pewaris keilmuan itu belum bersedia menerima ilmu disebabkan kelekaan dengan perkara lain, maka ilmu itu hanya akan terhenti pada generasi sebelum itu sahaja.

Dengan terhentinya keilmuan dan matinya pendukung ilmu itu, manusia akan mula tersasar dan menghampiri kesesatan.

Dalam hadis yang lain, Baginda Nabi SAW mengisyaratkan:

“Di antara tanda-tanda akan datangnya kiamat ialah dihilangkan ilmu (mengenai agama) dan tetapkan kejahilan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Situasi hari ini, manusia berlumba-lumba untuk menuntut ilmu sama ada melalui sekolah, pondok, universiti dan sebagainya. Namun, tujuan menuntut ilmu itu perlu diperjelaskan kerana ramai antara mereka yang berjaya dalam bidang pengajian masing-masing, tetapi tidak dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk diperturunkan kepada generasi akan datang.

Yusuf al-Wabil dalam kitab tanda-tanda kiamat menjelaskan dimaksudkan dengan ilmu yang diangkat ini adalah melibatkan sumber daripada al-Quran dan as-Sunah. Ilmu-ilmu ini adalah warisan nabi yang disampaikan oleh kalangan ulama sehingga sampai kepada kita hari ini.

Dengan lenyapnya ulama, pasti ilmu akan turut hilang sedikit demi sedikit sehingga sunah mati, bidaah muncul dan kejahilan berleluasa.

Dalam riwayat lain, baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: “Di antara tanda-tanda hari kiamat adalah ilmu yang dipelajari daripada orang-orang kecil.” (Hadis Riwayat Ibnu Mubarak)

Berdasarkan hadis ini, lafaz al-Asaghir (kecil) membawa maksud orang yang rendah ilmu pengetahuan atau orang bodoh. Gambaran hadis ini jelas menunjukkan manusia akan mula mencari ilmu dengan mereka yang bukan ahlinya.

Satu sebab utama adalah guru dan ulama sudah dimatikan Allah SWT dan generasi selepasnya tidak memanfaatkan ilmu yang terdapat padanya.

Pada masa yang sama, manusia pada ketika itu lebih gemar mencari hiburan dalam ilmu berbanding diskusi agama yang lebih bermanfaat.

Ilmu yang disampaikan adalah terhad namun jenaka dan cerita yang tiada asas yang kukuh diperdengarkan sehingga manusia yang mendengar menjadikan hujah berkenaan sebagai kalam utama yang dituturkan oleh ulama.

Lebih teruk lagi, ada cerita palsu disebarkan dan dinyatakan sebagai hadis dan perkataan daripada baginda Nabi SAW. Penyebaran ilmu ini tidak setakat ilmu yang tidak bermanfaat bahkan menjangkau hadis palsu yang dijadikan hujah utama golongan bawahan dalam penyampaian ilmu mereka.

Justeru itu, ilmu yang berkembang ini akan tiba kepada pengakhiran melalui guru dan ulama yang dimatikan Allah SWT.

Maka setiap penuntut ilmu perlu bersedia untuk mewarisi ilmu itu dan menyampaikan kepada generasi berikutnya sebagai kesinambungan keilmuan yang utama dalam kehidupan manusia.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*