“Pecat Azmin Ali Yang Menjadi Punca Utama Kegagalan Total Lockdown”

Pemuda Umno menuntut kerajaan melaksanakan beberapa perkara jika ingin meneruskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau ‘total lockdown’ yang dijadualkan berakhir Rabu ini. Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya menuntut tiga perkara dilakukan segera oleh kerajaan jika ingin meneruskan total lockdown.

“Pemuda Umno tuntut tiga perkara dilakukan segera iaitu melaksanakannya hanya di Lembah Klang iaitu Selangor dan Wilayah yang mencatat kes begitu tinggi. Tutup semua kilang-kilang di Selangor kecuali kilang makanan dan terkait dengan perubatan, selain Bantuan Khas Covid, bantuan bakul makanan ditambah dan disegerakan terutama di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD),” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, kerajaan juga perlu menetapkan syarat semua pekerja-pekerja perlu selesai divaksinasi sebelum memberi kebenaran kilang-kilang beroperasi semula.

“Pecat Azmin Ali (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali) yang menjadi punca utama kegagalan total lockdown. Sebagaimana cadangan saya kepada Datuk Seri Ismail Sabri ketika menyerahkan #TuntutanRakyat, laksanakan total lockdown yang penuh bukan separa masak seperti sekarang ini.

“Jangan dilayani lagi rayuan Menteri MITI yang lebih kepada nak jaga tauke-tauke kilang berbanding rakyat marhain!” tegasnya. Asyraf Wajdi berkata, walaupun Pemuda Umno antara yang terawal mendesak kerajaan supaya melaksanakan total lockdown sebelum ini, namun desakan itu bersyarat termasuk bantuan tambahan mesti diisytiharkan bersama dan paling penting ia dilaksanakan dengan betul bukannya separuh masak.

“Ya saya mengaku Pemuda Umno antara yang terawal mendesak supaya Kerajaan isytihar total lockdown 14 hingga 21 hari iaitu pada 20 Mei, 10 hari sebelum Kerajaan akhirnya laksanakannya pada 1 Jun 2021. Namun, pada waktu itu Pemuda Umno telah bagi tujuh prasyarat antaranya bantuan tambahan mesti diisytiharkan bersama dan yang paling penting buatlah betul-betul bukannya separuh masak.

“Tutup kilang-kilang macam PKP 1.0 kerana ternyata menjadi penyumbang utama peningkatan kes dan rakyat rela susah sekali bukan berkali-kali,” katanya. – Malaysiapost

kredit Malaysiapost

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*