“Saya Pernah Ditawarkan Kerja Dengan Bayaran RM150, Saya Rasa Ini Adalah Satu Penghinaan Kepada Saya,”

“Kenapa gaji pelakon tua lagi rendah daripada gaji pelakon muda? Agaknya, kerana dia (pelakon muda) popular atau banyak pengikut?”. Demikian luahan pelakon veteran, Jalil Hamid dalam sesi sidang media virtual sempena kehadiran drama bersiri Ayahanda, yang berlangsung hari ini. Jalil berkata, isu bayaran rendah kepada pelakon senior adalah perkara yang paling tidak adil dan berlaku di dalam industri seni lakon tanah air.

“Perkara ini adalah satu perkara paling tak adil, yang menyebabkan pelakon-pelakon tua rasa terpinggir. Apa dosa mereka? Dia (pelakon senior) dah tua, diberikan bakat oleh Allah juga. Orang tua pun perlu makan dan minum juga.

“Bidang lakonan ini tak ada ‘pencen’. Tak ada had umur,” katanya. Tambah Jalil, dia juga pernah berkecil hati dengan beberapa produksi yang meletakkan harga terlalu rendah ketika menawarkannya untuk berlakon.

“Banyak kali saya keluarkan kenyataan begini, namun komen daripada masyarakat adalah mereka fikir saya nak cari populariti, supaya orang ingat. Saya pernah ditawarkan kerja dengan bayaran RM150 untuk satu episod. Ia masih terngiang-ngiang dalam telinga saya sampai sekarang.

“Saya ke set penggambaran pada hari pertama, namun saya tak dapat teruskan kerja kerana saya rasa ini adalah satu penghinaan kepada saya,” katanya. Drama bersiri Ayahanda diarahkan pengarah, Datuk Ahmad Tamimi Siregar. Ia dibintangi Jalil, Ogy Ahmad Daud, Fikry Ibrahim dan ramai lagi ditayangkan di slot Lestary TV bermula semalam.

kredit harian metro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*