Selepas Minta Parlimen Dibuka “Segera” Sebelum Ini, Agong Sekali Lagi Titahkan “Secepat Mungkin”

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin. Pandangan Seri Paduka itu disampaikan ketika menerima menghadap Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat, Rais Yatim dan Azhar Harun di Istana Negara hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam kenyataan  yang disiarkan di Facebook Istana Negara berkata, pertemuan sejam itu adalah lanjutan daripada sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang diadakan pada 16 Jun lalu.

“Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard Covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan dan Parlimen Malaysia. Ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Baginda turut berpandangan bahawa semua jawatankuasa pilihan Parlimen ke-14 hendaklah meneruskan sesi mesyuarat pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab, khususnya dalam menangani isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

“Perlu diperjelaskan juga di sini bahawa pandangan dan seruan-seruan yang dinyatakan ini merupakan pendirian Seri Paduka Baginda dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Raja Berperlembagaan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undangnya,” kata kenyataan itu lagi.

Turut hadir dalam pertemuan yang bermula jam 11 pagi itu ialah Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Mohamad Ali Mohamad kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon dan Azalina Othman Said.

Selain itu, Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan kesediaan pihak Parlimen untuk mengadakan persidangan secepat mungkin, serta menyeru rakyat untuk mendoakan kesejahteraan negara dan agar wabak Covid-19 dapat dibendung segera.

Pada 16 Jun, selepas mempengerusikan pertemuan khas dengan raja-raja Melayu, Agong bertitah agar Parlimen bersidang “secepat mungkin”. Rais dan Azhar mengeluarkan kenyataan pada 25 Jun bahawa Parlimen sedang mengkaji persidangan secara hibrid, dan memerlukan masa untuk membuat persediaan.

Dijangka, parlimen secara hibrid dapat mula bersidang pada akhir Ogos atau selewat-lewatnya awal September depan. Sehari kemudian, kedua-dua mereka dititahkan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam pertemuan yang berlangsung tadi.

Di sebalik kenyataan Rais dan Azhar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata kerajaan belum memutuskan sama ada persidangan Parlimen akan berlangsung secara fizikal atau hibrid, dan kenyataan speaker Parlimen itu hanyalah cadangan sahaja.

kredit tun carlos

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*