“Setiap Orang Ada Kesilapan” PH Terbuka Terima Ahli Parlimen Yang Pernah Berpaling Tadah

NAIB Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, Pakatan Harapan (PH) sentiasa membuka ruang kepada mana-mana Ahli Parlimen yang berpaling tadah selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket parti itu untuk kembali semula.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, PH terbuka untuk menerima kembali pemimpin tersebut, sekali gus dapat menyokong calon Perdana Menteri kesembilan daripada gabungan berkenaan.

Beliau berkata, peluang keinsafan sentiasa diberikan kepada pihak yang terlanjur dalam tindakan sehingga mengabaikan mandat diberikan rakyat.

“Itu yang terbaik, setiap orang ada kesilapan dan setiap orang diberikan peluang keinsafan untuk kembali kepada mandat rakyat. Bagi saya, adalah wajar untuk mereka yang mungkin terlanjur dalam langkah sehingga mengabaikan mandat rakyat tempoh hari, harus kembali bersama PH.

“InsyaAllah untuk kita bina kembali negara, kita akan terima mereka dengan hati terbuka, tidak ada masalah,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata ketika ditemui selepas menandatangani akuan bersumpah bagi pencalonan nama Perdana Menteri di Pejabat Pesuruhjaya Sumpah Rashid Alor Setar, hari ini. Sebelum ini, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub mempelawa semua Ahli Parlimen yang keluar daripada PH agar kembali kepada gabungan tersebut.

Sementara itu, Mahfuz berkata, keputusan PH untuk mencalonkan Presiden Parti PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kesembilan merupakan langkah paling tepat untuk mengembalikan keyakinan rakyat Malaysia.

Semalam media melaporkan, semua Ahli Dewan Rakyat diarahkan menyerahkan satu surat akuan menyatakan dengan terang dan jelas calon Perdana Menteri ke-9 pilihan mereka selewat-lewatnya jam 4 petang hari ini. Terdahulu, Umno memuktamadkan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) itu menjadi satu-satunya calon sebagai calon Perdana Menteri.

kredit Malaysiapost

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*