Shahidan Kassim Dedah Ada Seorang Ahli Parlimen UMNO Sokong Anwar Ibrahim Sebagai Perdana Menteri

Bekas Pengerusi Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini mendedahkan seorang Ahli Parlimen daripada Umno mengaku menandatangani dokumen sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik menjadi Perdana Menteri.

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau berkata, perkara itu berlaku pada 7 Jun lalu dan ia disaksikan oleh Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Menurutnya, kejadian itu adalah kes ketika membabitkan presiden parti dikatakan melanggar keputusan Umno yang dibuat dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Katanya, PAU dengan terang memutuskan bahawa Umno menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sampai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan ‘No Anwar, No DAP’.

“Didapati ada tiga perkara yang berlaku yang melibatkan Presiden Umno menyokong Anwar iaitu, pertama surat yang telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong dengan mengatakan kami Ahli Parlimen Umno menyokong untuk tarik diri, itu adalah sesuatu yang tidak benar. Kita hantar surat kepada Agong kita tidak boleh berbohong dengan Agong.

“Kedua kes audio percakapan, namun semua orang diam sebab ia melibatkan presiden. Banyak orang yang kena tindakan disiplin dan kena buang dengan beberapa kesalahan yang telah parti putuskan. Tetapi ini kesalahan yang melibatkan melanggar keputusan PAU, di luar keputusan MKT yang dibuat oleh presiden sendiri.

“Ketiga, pengakuan seorang Ahli Parlimen yang mengatakan bahawa dia tandatangan surat menyokong Anwar di depan presiden dan depan Anwar serta depan seorang kenamaan. Jadi saya rasa ini satu kesalahan yang perlu diambil tindakan,” katanya dalam satu sidang media dalam talian hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan sama ada dokumen sokongan itu berbentuk akuan bersumpah (SD) atau lain dan tidak mendedahkan nama Ahli Parlimen yang didakwa menandatangani dokumen itu, atau ‘orang kenamaan’ yang dikatakan ada bersama Ahmad Zahid dan Anwar ketika itu.

Menurutnya, beliau boleh terima jika Presiden Umno mengaku perkara itu sudah berlaku dan sudah berakhir serta meminta maaf mengenainya.

“Saya ni jenis orang baik…kalau presiden isytihar benda ini telah berlalu, habis dan minta maaf, saya tiada masalah, tapi kalau tidak, presiden telah melanggar keputusan parti dan boleh diambil tindakan,” katanya. Shahidan berpendapat dengan isu terbaharu yang timbul itu, Presiden Umno dilihat masih lagi melakukan perkara demi kepentingan peribadi dengan membelakangkan keputusan parti.

“Presiden kena berhenti (membelakangi keputusan parti) dan meminta maaf, jika tidak presiden kena diambil tindakan,” katanya.

kredit Malaysiapost

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*