Siti Sarah Bagi Kata Dua Dalam Tempoh 48 Jam Kepada ‘Scammer’ Untuk Mohon Maaf Secara Terbuka

Penyanyi Siti Sarah, 36, memberi tempoh 48 jam kepada ‘scammer’ yang menyamar sebagai ejen produk tampil membuat permohonan maaf secara terbuka, sebelum tindakan undang-undang diambil ke atasnya. Terdahulu, laporan polis dibuat Pegawai Pemasaran Loveta, Rizam Mahyuzam Morsit di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya, kelmarin.

Difahamkan, Rizam cuba menghubungi ‘scammer’ berkenaan selepas laporan dibuat ke atasnya, namun hingga kini, tiada maklum balas diterima. Menerusi sidang media secara virtual, semalam, Siti Sarah berkata, dia mempunyai maklumat mengenai ‘scammer’ yang melakukan penipuan.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Semakin itu enggan mendedahkan identiti ‘scammer’ wanita berusia 30-an itu bagi memberi peluang kepadanya membuat permohonan maaf.

“Polis menyarankan kami mendedahkan identiti ‘scammer’ berkenaan dalam laporan polis yang dibuat. Ini kerana kes penipuan dalam talian semakin menjadi-jadi, sejak akhir ini. Namun, saya mahu memberikan tempoh 48 jam kepadanya membuat permohonan maaf dan membela diri. Saya mempunyai maklumat lengkap termasuk nombor telefon dan alamat.

“Saya boleh pergi ke rumahnya pada bila-bila masa, tetapi ingin memberinya peluang terlebih dahulu. Saya tidak tahu berapa ramai pelanggan sudah tertipu, tetapi difahamkan kegiatan dilakukan antara dua hingga tiga bulan lalu. Setakat ini, empat pelanggan ditipu berjaya dijejaki. Mungkin lebih ramai sudah terkena, tetapi belum tampil. Jadi, sukar buat saya menganggarkan jumlah penipuan yang dilakukan,” katanya.

Siti Sarah mengarahkan Pegawai Pemasaran Loveta, Rizam Mahyuzam Morsit membuat laporan polis terhadap penipuan ‘scammer’ wanita di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya, kelmarin. – Foto IG Siti Sarah Siti Sarah berkata, dia hanya menyedari penipuan dilakukan selepas mangsa datang mengadu ke pejabat Loveta Sdn Bhd.

“Ini kerana ‘scammer’ ini berdolak-dalih apabila ditanya mengenai barang dibeli pelanggan. Apabila diperiksa, ‘scammer’ ini tidak pernah membuat sebarang tempahan. Saya mengarahkan pekerja membuat laporan polis kerana penipuan ini boleh merosakkan nama baik dan reputasi perniagaan.

“Saya membuka perniagaan dengan niat membantu golongan peniaga kecil memulakan perniagaan tanpa menggunakan modal. Saya juga mahu berkongsi rezeki, tidak terlintas langsung ada manusia menggunakan platform disediakan untuk tujuan penipuan.

“Jujurnya, saya jadi fobia apabila ada manusia tergamak melakukan penipuan seperti ini. Saya tidak mahu pelanggan anggap ejen dropship saya penipu,” katanya. Isteri kepada Shuib Sepahtu itu berkata, kesabarannya juga ada batasannya.

“Saya sudah melalui pelbagai fitnah sebelum ini, tetapi saya hanya mendiamkan diri. Namun, saya tidak menyangka ia seperti memberi keseronokan kepada sesetengah manusia. Jadi, sudah tiba masanya bertegas kerana saya membuka perniagaan bukan untuk menganiaya orang, sebaliknya besar harapan saya melihat mereka dapat mengubah kehidupan. Saya tidak tahu bagaimana ‘scammer’ ini tergamak melakukan penipuan. Tidakkah rasa takut makan rezeki daripada sumber tidak berkat hingga tak fikir soal halal haram,” katanya.

kredit berita harian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*