Tengku Zafrul Dedah Kluster Tempat Kerja Yang Menyumbang Terhadap Peningkatan Kes Di Malaysia

Kluster tempat kerja mencatatkan jumlah kes COVID-19 tertinggi dengan lebih 735 kluster membabitkan hampir 60,000 kes direkodkan bagi tempoh 1 Jun hingga 23 Julai lepas, kata Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 373 atau 50.7 peratus kluster melibatkan subkategori pengilangan dengan 35,642 kes.

“Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding kluster-kluster dalam kategori lain bagi tempoh yang sama,” katanya ketika menjawab isu berbangkit berkenaan PPN di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata penetapan kategori kluster-kluster adalah untuk mengenal pasti lokasi atau lokaliti agar tindakan bersasar kawalan dan pencegahan penularan jangkitan COVID-19 dapat dilaksanakan dengan berkesan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama institusi terlibat.

Khalid Abd Samad (Amanah-Shah Alam) kemudian bangkit mempersoalkan tindakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang membenarkan kilang dibuka tanpa kawalan sehingga menjadi punca kepada peningkatan kes COVID-19 di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bangun menjawab dakwaan itu berkata keputusan membenarkan kilang-kilang beroperasi dibuat secara kolektif dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN). Beliau berkata peranan MITI hanya untuk mengkoordinasi supaya pihak yang dibenarkan dapat beroperasi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Mohamed Azmin juga menunjukkan plakad yang memaparkan data daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), antaranya menyatakan hanya 8.8 peratus kes baharu bagi sektor pembuatan direkodkan daripada 408,134 kes COVID-19 di seluruh negara sepanjang tempoh 1 Jun hingga 23 Julai lepas.

Terdahulu, Mesyuarat Khas Dewan Rakyat sedikit kecoh apabila Ahli-Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan tindakan Tengku Zafrul menjawab soalan-soalan dibangkitkan mereka dan bukannya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberikan penerangan mengenai PPN ketika sidang khas berkenaan pada sebelah pagi.

Dalam kekecohan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bangun menjelaskan bahawa Tengku Zafrul menjawab atas kapasitinya sebagai Menteri Penyelaras PPN memandangkan topik yang dibincangkan adalah berkaitan pelan tersebut.

kredit siakap keli

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*