2 Bulan Berperang Dengan Diri Sendiri, Daiyan Trisha Kembali Menjadi Solo, Ramai Pula Yang “Kenengkan” Dengan Pelakon Ini

Melihat wajah manisnya yang sentiasa tersenyum dan sikap cerianya, siapa sangka, jiwa penyanyi dan pelakon Daiyan Trisha sedang berperang selepas melalui episod putus cinta sekitar dua bulan lalu. Bertambah parah apabila peristiwa sedih tersebut berlaku ketika seluruh negara sedang bergelut dengan peningkatan angka kes Covid-19. Terpaksa berkurung di rumah dan melaluinya bersendirian menyebabkan emosi dan mentalnya tidak stabil.

“Emosi dan mental saya tidak stabil ketika itu kerana putus cinta serta terpaksa melaluinya sendirian. Perasaan saya waktu itu bukan sakit atau patah hati, tetapi lebih daripada itu. Perasaannya lebih dalam dan tambah menyakitkan buat saya,” ujar Daiyan membuka lipatan hati.

Daiyan mengaku lagu Penat ditujukan buat bekas kekasihnya dan dalam masa sama untuk merawat hatinya yang luka. Wanita berusia 28 tahun itu bagaimanapun enggan memperincikan bagaimana hubungan cinta tersebut terputus dan menyifatkan mereka tiada jodoh.

“Saya tidak mahu bercerita lanjut tentang hubungan yang terputus, bekas kekasih saya juga bukanlah artis,” katanya. Daiyan bagaimanapun mengakui dia menulis lagu buat bekas kekasih bagi merawat hati yang sedang galau. Bukanlah tidak boleh melupakan, sebaliknya menulis adalah terapi terbaik untuk menenangkan diri.

“Biarpun orang nampak saya okey dalam Instagram, tetapi sebenarnya itu hanya luaran. Emosi dalaman yang berkecamuk, hanya saya merasainya. Menulis umpama oksigen untuk saya. Jadi, menulis merupakan cara paling berkesan untuk merawat hati, buat saya tenang dan okey. Hasil daripada perang emosi dan jiwa itu maka terhasil lagu Penat,” kongsi Daiyan lagi tentang inspirasi single baharunya.

Tanpa kekasih dan belum bersedia untuk kembali bercinta dengan mana-mana lelaki, namun sudah ada netizen yang cuba ‘menjodohkannya’ dengan dengan pelakon Aedy Ashraf.

Biarpun timbul usikan manja peminat yang memberi restu dia bercinta dengan Aedy Ashraf, namun buat masa ini Daiyan belum mahu membuka hatinya untuk kembali bercinta. Daiyan dan Aedy sebelum ini pernah bergandingan menerusi drama bersiri popular, Projek: Anchor SPM.

Mengulas mengenai perkara tersebut kata Daiyan: “Saya rasa perkara itu lucu. Terdahulu, dalam aplikasi TikTok tular sebuah video yang dimuat naik peminat menunjukkan reaksi Aedy ketika ditanya mengenai Daiyan.

Dalam video berkenaan, jelas wajah Aedy kelihatan kekok saat diajukan soalan tersebut dan dihimpit pertanyaan beberapa rakannya yang turut serta dalam sesi secara langsung itu termasuklah pelakon, Elfira Loy. Bekas pengacara program Muzik-Muzik itu tidak menafikan dia dan Aedy bersahabat baik, tetapi hubungan mereka tidak lebih daripada kawan.

“Saya dengan Aedy ialah sahabat baik. Memang saya ada nampak komen-komen netizen, tetapi saya tak bersedia untuk apa-apa (hubungan),” kata Daiyan. Menyambung bicara tentang single terbaharunya yang berjudul Penat, pemilik nama Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin itu mengakui single tersebut diinspirasikan daripada episod putus cintanya.

Perasaan pedih dan sakit hati yang dialaminya diluahkan menerusi lirik dan bait-bait lagu Penat yang telah dilancarkan di semua platform digital pada 20 Ogos lalu.

Proses rakaman lagu dan video lirik Penat yang berlangsung ketika PKP 3.0 hanya dilakukan di kediaman Daiyan. Proses susunan lagu dan suntingan video pula dilakukan secara dalam talian. Terang Daiyan, disebabkan emosi yang mendalam, dia dapat menyiapkan lagu tersebut dalam tempoh satu jam sahaja.

Sungguhpun begitu, perjalanan penghasilan Penat tidak mudah apabila Daiyan terpaksa berhenti beberapa kali kerana terlalu larut dengan emosi sedihnya.

“Penat merupakan lagu yang paling sukar pernah saya tulis. Walaupun mengambil masa dalam satu jam sahaja, tetapi saya banyak kali berhenti kerana menangis. Perasaan sedih, kecewa dan patah hati itu memang membuak-buak dalam diri, jadi emosinya mudah keluar dan sukar untuk dikawal,” tutur Daiyan tentang lagu yang menjalani rakaman di rumahnya sahaja.

Meskipun Penat mendapat inspirasi daripada kekecewaan sendiri, namun definisi lagu tersebut lebih besar mencakupi isu pandemik Covid-19 bukan sahaja menjejaskan dirinya, tetapi juga ramai orang. Semua itu terhimpun menerusi Penat.

“Semua orang penat dan mereka meluahkan emosi menerusi media sosial. Perkara tersebut sedikit sebanyak memberi inspirasi untuk menulis dan memilih tajuk sesuai. Kita semua berada di lautan yang sama, namun di kapal yang berbeza. Semua orang ada masalah. Letih melawan emosi sedih putus cinta, ditambah ketika itu semua orang terkurung di rumah membuatkan Daiyan menzahirkan rasa berat ditanggungnya menerusi Penat.

“Saya mahu membalutkan semua emosi tersebut menjadi satu perkataan yang universal. Penat merupakan satu perkataan cukup berat buat saya dan boleh dikaitkan dengan semua orang yang melalui situasi hampir sama,” ujar Daiyan. Menyentuh tentang profil muziknya, wanita kelahiran Bangi, Selangor itu mula menyanyi sejak 2013 dan sehingga kini telah meluncurkan 18 buah single. Ironinya, Penat ialah lagu balada putus cinta bahasa Melayu pertama yang dizahirkannya.

“Saya baru sedar saya tidak pernah menghasilkan lagu balada putus cinta. Paling kelakar, saya baru sedar lagu balada putus cinta merupakan lagu yang sangat popular di Malaysia, tetapi kenapa saya tidak pernah keluarkan lagu sebegitu,” kata Daiyan yang merupakan penggemar muzik Taylor Swift.

kredit kosmo

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*