Apakah Hukum Berniat Untuk Meninggal Dunia di Tanah Suci Mekah?

Apakah hukum saya berniat meninggal dunia di Mekah atau Madinah semasa mengerjakan umrah pada bulan hadapan.

Nur, Bukit Mertajam.

UKE: Nabi SAW bersabda: “Janganlah salah seorang kamu mengharapkan kematian hanya kerana musibah yang menimpanya, kalau pun ingin melakukan itu, katakanlah: “Ya Allah, hidupkanlah aku jika hidup itu memang baik bagiku, dan wafatkanlah aku jika wafat itu memang baik bagiku.”(Hadis riwayat Al-Bukhari no. 5671, Muslim no. 2680).

Anda pergi untuk buat ibadat, kenapa hendak minta mati pula? Bukankah banyak tanggungjawab anda di tanah air dan berapa banyak pahala boleh dapat jika umur anda panjang? Kalau semua orang minta mati di sana, siapa pula yang akan jaga agama?

Adakah anda ingin mati di Mekah atau Madinah sebab ada orang kata kalau mati di sana masuk syurga? Kalau begitu sebabnya anda hendak mati, maka pendapat itu tak betul. Cuma apa sebab mati itulah yang perlu jelas.

Tidaklah menjadi kesalahan minta mati di Mekah atau Madinah tetapi yang salah ialah bunuh diri atau cari jalan hendak bunuh diri sebab hendak mati di sana.

Mintalah mati dalam husnul khatimah. Walau di mana mati sekalipun, jika dalam husnul khatimah itulah yang baik. Meninggal dunia ketika mengerjakan haji atau umrah, mudah-mudahan termasuk dalam husnul khatimah.

Tuntasnya, persiapkanlah diri kita untuk menghadapi hari kematian kelak. Sudah bersediakah kita? Sudah cukupkah amalan kita untuk dibawa untuk menghadap Sang Pencipta? Janganlah kita terlampau mengejar dunia sehingga kita lalai dan alpa tentang pentingnya hari akhirat. Amalan di dunia itulah yang menentukan dimana kita disana nanti. Doa seorang anak soleh, sedekah jariah kita, itulah yang memberi bekalan kita untuk hari mati nanti. Semoga kita semua mati dalam kalangan orang yang beriman. Share jika bermanfaat.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*