“Biarlah Orang Nak Kata Apa, Yang Penting Niat” Nyanyikan Lagu Selawat, Zizi Kirana Kesal Ada Netizen Cakap Buruk Pasal Dirinya

“Biarlah Orang Nak Kata Apa, Yang Penting Niat” Nyanyikan Lagu Selawat, Zizi Kirana Kesal Ada Netizen Cakap Buruk Pasal Dirinya

Kuala Lumpur: “Biarlah orang nak kata apa, yang penting niat. Ustaz Fakhrul pun cakap, jangan ambil kisah apa orang cakap.”

Demikian kata penyanyi popular, Zizi Kirana, 35, mengenai komen negatif berhubung penampilannya menyanyi dan mengalunkan selawat Qomarun atau Purnama nyanyian bersama kumpulan UNIC yang dilancarkan, semalam.

Difahamkan, Zizi yang kerap tampil dengan imej seksi kononnya tak ‘sesuai’ mendendangkan lagu sedemikian.

Zizi berkata, jika ada pihak yang tidak menyukainya atau sengaja mahu melemparkan komen negatif boleh berbuat sedemikian di hantaran lain dan bukan pada video selawat itu.

“Dari dahulu lagi saya memang jenis malas dan tidak ambil peduli komen orang. Saya tidak mahu memeningkan kepala. Nak cakap apa pun, cakaplah. Saya okay saja.

“Cuma, untuk kali ini saya perlu cakap. Takkan video selawat pun nak kena komen negatif terutama yang tak berkaitan dengan video itu. Nak komen negatif mengenai diri saya, boleh komen di hantaran lain.

“Saya mohon janganlah di video itu sebab di situ ada nama Ustaz Fakhrul dan Bazli. Sesekali kena hormat juga orang lain,” katanya.

Bagaimanapun, Zizi yang popular menerusi lagu EH! berterima kasih kepada UNIC terutama Ustaz Fakhrul yang banyak memberikan kata-kata semangat.

“Selepas dilancarkan, Ustaz Fakhrul membuat ‘screen shot’ (tangkap layar) komen di YouTube dan hantar pada saya. Dia cakap, masih ramai yang memberikan komen membina dan positif.

“Alhamdulillah, setakat semalam, saya bersyukur kerana projek ini mendapat maklum balas baik. Mana tahu ini menjadi asbab (sebab) untuk sesuatu yang lebih baik dalam diri saya pula selepas ini. Terima kasih atas doa yang dititipkan,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*