Google Earth Papar Gambar Jelas Air Terjun Tapi Di Bawahnya Ada “Bola Api” Misteri

Di dunia ini terdapat beberapa lokasi pelik yang ‘menyimpan’ pelbagai rahsia tidak diketahui umum. Malah selain itu, tempat-tempat sebegini memiliki struktur, kawasan dan pemandangan yang agak janggal dilihat. Baru-baru ini, akaun TikTok @hidden.on.google.earth berkongsi satu video yang seperti biasa, menerjah ke sesuatu tempat misteri di seluruh dunia hanya menggunakan aplikasi Google Earth.

Kali ini, lokasi misteri yang ditinjau daripada Google Earth memaparkan sebuah kawasan hutan. Apabila kamera dipusingkan, terdapat sebatang sungai yang mengalir dari atas bukit menuju ke bawah. Bagaimanapun, di sebalik laluan sungai yang bertingkat itu, jelas kelihatan satu objek seakan nyalaan unggun api yang ‘hidup’ menyala walaupun berada bersebelahan dengan air sungai.

Tidak pasti kenapa dan macam mana boleh ada api di situ, namun video ini mungkin boleh menjawab persoalannya. Berdasarkan komentar netizen, difahamkan tempat ”misteri’ tersebut dipercayai terletak di Chestnut Ridge Park di barat New York. Selain itu, sungai ini juga dikenali dengan Eternal Flame Falls.

Jadi macam mana boleh ada api di kawasan berair tersebut? Rupa-rupanya di bawah laluan bertingkat air sungai itu, terdapat sebuah gua kecil yang mengeluarkan gas asli semulajadi dari bawah tanah.

Api yang kelihatan menyala itu terhasil daripada proses saintifik yang melibatkan gas asli berkenaan. Dikatakan api itu sentiasa hidup dan membakar sepanjang masa. Ada waktu, ia boleh terpadam dan hidup kembali.

Ahli geologi dari Indiana University Bloomington dan Institut Geofizik dan Volkanologi Kebangsaan Itali pernah menjalankan kajian mengenai Eternal Flame Falls ini sekitar tahun 2013 dahulu.

Tujuan penyelidikan mereka adalah untuk memahami dengan lebih mendalam tentang bagaimana gas asli yang dikeluarkan daripada rembesan hidrokarbon yang berlaku secara semulajadi boleh menyumbang kepada gas rumah hijau di atmosfera.

Difahamkan, mereka mendapati bahawa rembesan makro di Eternal Flame Falls mempunyai tahap kepekatan etana dan propana yang lebih tinggi, dipercayai kira-kira 35 peratus daripada rembesan gas asli yang diketahui.

Mereka berpendapat bahawa rembesan pada air terjun mampu mengeluarkan kira-kira satu kilogram gas metana setiap hari. Selain itu, mereka juga menyatakan ada banyak mikro rembesan lain di kawasan air terjun.

Dengan membandingkan gas yang dikeluarkan oleh rembesan ini dengan gas dari telaga di kawasan itu, mereka menentukan bahawa gas (tersebut) berasal dari Rhinestreet Shale kira-kira 400 meter (1,300 kaki) di bawah permukaan.

Kegiatan tektonik yang berlaku di bawah tanah kemungkinan menyebabkan kerosakan pada serpihan lapisan Bumi yang membolehkan gas tersebut mampu untuk sampai ke permukaan.

kredit siakap keli

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*