‘Ibumu Adalah Segala-galanya Bagi Ayah’

Sudah 33 tahun ibu dan ayah bersama. Pelbagai onak dan liku ditempuhi bersama. Ibu sebagai seorang surirumah manakala ayah bekerja sebagai penjawat awam. Ayah seorang yang baran orangnya tetapi tidak pernah naik tangan. Ibu pula seorang yang lemah lembut. Walaupun begitu, rumah tangga mereka harmoni. Kadang kala, ada juga bergaduh manja, tetapi salah seorang daripada mereka pasti akan memohon maaf dan mengakui kesilapan masing-masing.

Ayah seorang yang penyayang. Kata ibu, ayah sanggup bersengkang mata menolongnya menjaga kami dari kecil sehinggalah dewasa. Dugaan buat keluarga kami terlalu hebat. Semasa saya berumur 10 tahun, ayah dipindahkan ke tempat yang baru dan ibu pula tiba-tiba diserang penyakit misteri. Ibu yang dulunya ceria, tiba-tiba menjadi kurus kering dan terbaring kaku.

Kami pada masa itu, tidak mengerti apa-apa. Ayah dan ibu selalu tiada di rumah kerana mereka selalu pergi berubat agar ibu cepat sembuh. Sudah lama penyakit ibu, hampir 10 tahun ibu menderita dan ayah pula terseksa dari emosi. Siang dan malam saya melihat ayah menangis meratapi ibu Ayah sangat sayang pada ibu kerana mereka merupakan sahabat baik dari zaman kanak-kanak lagi.

Ibu suruh ayah berkahwin dengan perempuan lain supaya ada yang menjaga ayah. Namun, ayah menangis tidak mahu menduakan ibu kerana baginya, ibulah yang pertama dan terakhir. Bukannya tak ada orang mahukan ayah, hampir ramai janda yang ingin berkenalan dengan ayah. Ayah juga mempunyai iras yang baik di samping pekerjaannya yang menjamin masa depan. Tetapi ibu juga yang tetap menjadi pilihan ayah.

Ketika itu, ibu sudah tidak mampu meneruskan hidupnya lagi, terbaring kaku dan kami adik beradiklah yang bergilir-gilir menjaganya. Makan pakai ayah, kami jaga. Kini ibu sudah sembuh dengan keizinan dari Allah. Ayahlah insan yang paling gembira. Kami bersyukur ibu sudah sembuh dan bersyukur ayah tidak meninggalkan kami dalam keadaan kami yang tidak terurus pada ketika itu.

Hari ini, ayah dan ibu meniti hari-hari bahagia mereka. Mereka bercinta seperti baru di alam perkahwinan. Semoga rumahtangga mereka aman dan bahagia. Apa yang penting, kalau hati kita memilih untuk curang, maka hubungan rumahtangga itu pastik akan goyang, roboh kalau tidak dijaga. Semoga kita mengambil iktibar dari kisah ini.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*