Jenis Pergerakan Yang Menyebabkan Terbatalnya Solat

Apakah jenis pergerakan yang membatalkan solat dan dibenarkan dalam solat? Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus dihalaman fbk beliau.

Semoga bermanfaat.

SOALAN:

Saya masih tidak faham mana satukah pergerakan dalam sembahyang yang membatalkan dan yang dimaafkan.

Minta ustaz jelaskan. Terima kasih.

JAWAPAN:

Antara perbuatan yang membatalkan solat ialah bergerak anggota berat sebanyak tiga kali berturut-turut atau sekali sahaja perbuatan yang melampau yang menyebabkan hilang rupa orang yang sedang solat walau pun sebab terlupa.

Dan yang keempat ialah bergerak orang yang solat dengan satu gerakan yang melampau atau tiga gerakkan yang berturut-turut samada ia sengaja atau lupa atau jahil.”

Contohnya sekali gerakan yang melampau itu ialah sekali melompat maka batal solatnya walau pun bukan ia sengaja seperti melompat kerana terkejutkan cicak yang jatuh di atas kakinya kerana tiada lagi rupa orang yang sedang melakukan solat.

Dan contoh tiga gerakan berturut-turut itu seperti seorang yang menggaru kaki kanannya dengan kaki kirinya tiga kali gerakan atau membetulkan kopiahnya dengan tiga kali angkat berturut-turut angkat.

Jika gerakan tersebut tidak berturut turut seperti pada rakaat pertama dia membetulkan kopiahnya dengan tangan dan pada rakaat keduanya dia mengambil kopiiahnya yang jatuh dan pada rakaat ketiga dia membetulkan lagi kopiahnya itu maka tidak batal solatnya walau pun hilang pahala khusyuknya.

Dan gerakan yang tidak membatalkan solat ialah gerakan yang sedikit atau gerakan yang ringan seperti menggerakkan jarinya atau kelopak matanya atau lidahnya.

Tersebut pada kitab Fathul Mu’in :

Tidak batal solat dengan sebab gerakan yang ringan sekali pun banyak dan berturut-turut bahkan makruh hukumnya seperti menggerakkan satu jari atau segala jari pada menggaru serta tidak bergerak tapak tangannya atau kelopak matanya atau bibirnya atau zakar atau lidah kerana sungguhnya ia mengikut bagi tempatnya yang kekal seperti jari-jarinya.”

Gerakan sedikit seperti kepala bergerak ketika membaca maka tidak membatalkan solat kerana gerakan tersebut adalah sedikit.

Dan contoh gerakan anggota berat yang sedikit tidak membatalkan itu ialah bergerak dua tangannya selepas berdiri dari rukuk kepada iktidal.

Begitu juga jika menggerakkan jari sekalipun berturut-turut kerana jari adalah anggota yang ringan maka tidak batal solat sebab menggaru dengan jari berulang-ulang dengan syarat hanya jari yang bergerak bukan tapak tangannya.

Ada pun jika tapak tangan bergerak sama ketika menggaru itu tiga kali berturut-turut maka batal solatnya kerana tapak tangan adalah anggota yang berat.

Akan tetapi jika mengerakkan jari dengan tujuan bermain-main maka batal solatnya sekalipun jari itu adalah anggota yang ringan kerana orang yang niat bermain adalah orang yang tidak lagi berniat untuk solat.

Wallahua’lam

Ustaz Azhar Idrus

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*