Lama Tidak Berlakon, “Buntat” Kini Jadi Penebar Roti Canai

Lima tahun lalu, watak Buntat yang dilakonkan Muhammad Ariff Abdullah, 17, dalam drama bersiri 7 Hari Mencintaiku pernah mencetuskan fenomena sehingga meraih populariti dalam sekelip mata. Kini, Muhammad Ariff lebih memberi fokus kepada pelajaran kerana bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijangka tahun depan.

Selain itu, Muhammad Ariff yang kini meningkat remaja turut mengambil kesempatan membantu bapanya yang menjual roti canai di medan selera di Jitra, Kedah. Melihatkan tingkah lakunya kini, Muhammad Ariff lebih petah berbicara selain tidak kekok ketika mengambil pesanan dan melakukan kerja di kedai bapanya.

Malah, berbanding ketika awal mencipta nama, dia juga semakin ramah dan selesa ketika diaju pelbagai soalan mengenai perkembangan dirinya. Tidak lekang dengan senyuman, Muhammad Ariff berkata, dia teringin untuk berlakon, namun disebabkan pandemik Covid-19 dia terpaksa memperlahankan aktiviti lakonan selain tidak menerima sebarang tawaran.

“Mungkin ada hikmahnya juga kerana disebabkan Covid-19 ini saya dapat fokus kepada pelajaran kerana bakal menduduki peperiksaan SPM. Kali terakhir saya menjalani penggambaran tahun lalu dalam satu babak drama 7 Hari Mencintaiku 2 dengan memegang watak sebagai Ariff,” katanya di kedai roti canai bapanya.

Menurutnya, dia tidak kisah sekiranya ditawarkan watak apa sekalipun selepas ini, namun ia mungkin perlu seiring dengan usianya yang meningkat remaja.

“Saya seronok berlakon dan yakin akan dapat menjiwai apa saja watak yang diberikan kerana minat dan enggan sia-siakan bakat yang ada,” katanya. Selain mencipta nama dalam drama bersiri 7 Hari Mencintaiku, Muhammad Ariff juga pernah berlakon dalam filem Jibam yang ditayangkan pada 2017 dengan memegang watak sebagai kanak-kanak istimewa.

Walaupun menghidap disleksia serta menghadapi masalah untuk membaca dan menulis, namun Muhammad Ariff mempunyai daya ingatan yang kuat dan cenderung kepada perkara diminatinya.

Namun dalam keadaan begitu dia tetap diberi keyakinan membawa watak Jibam, sebuah produksi pertama yang dijayakannya sebagai pelakon. Untuk makluman, dia terlebih dulu beraksi di depan kamera untuk Jibam sebelum membawakan watak Buntat. Namun siri drama popular itu dapat ditonton lebih awal oleh orang ramai.

Sebagai insan istimewa, Mohd Ariff sentiasa didampingi bapanya, Abdullah Kasim, 53, semasa berlakon. Sekurang-kurangnya si bapa bertindak sebagai pembantu untuk memberi penerangan bagaimana kemahuan pengarah.

” Saya akan membantu Ariff dengan menterjemahkan sesuatu perkataan dan menunjukkan ekspresi wajah yang sesuai untuknya.

” Alhamdulillah, Ariff seorang budak yang cepat memahami dan mempunyai ingatan kuat, itu adalah bakat yang dikurniakan untuk seorang anak kelainan upaya sepertinya. Malah Ariff juga boleh menghafal skrip dalam masa 10 minit,” katanya.

  • Kenali siapa Buntat

Watak Buntat pernah menjadi trending di laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram. Ia selepas ramai penonton yang menonton drama berjudul 7 Hari Mencintaimu episod 21 rasa terkesan dengan watak yang dilakonkan oleh Ariff.

Dalam episod 21, Buntat telah disahkan meninggI dnia selepas didera oleh abang angkatnya iaitu Adi. Tidak cukup dengan itu, dia turut dipukul oleh bekas kekasih Mia Adriana, Khalil.

Selepas kematian Buntat, Mia baru mahu menunjukkan penyesalan selepas tindakan Buntat yang mahu menyelamatkan dirinya yang tersangat sombong dan angkuh itu.

Selama ini, Mia Adriana sering menunjukkan rasa bencinya terhadap Buntat telah menyesal di atas semua perbuatan buruk kepada Buntat. Kebaikan yang ditunjukkan Buntat juga telah membuka mata Mia yang selama ini keras kepada menjadi lembut.

Biodata Buntat Pelakon 7 Hari Mencintaimu TV3

Di bawah ini, kami kongsikan biodata penuh Buntat selaku pelakon drama 7 Hari Mencintaimu yang disiarkan di slot Akasia TV3 seperti berikut :

  • Nama Penuh : Mohd Ariff sebagai Buntat
    Umur : 17 Tahun
    Drama : 7 Hari Mencintaiku
    Filem : Jibam (2017)
  • Asal : Jitra Kedah
    Status : Anak Kepada Tauke Roti Canai Pak Mutalib Jitra
    Pendidikan : Sekolah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajuddin, Jitra

kredit transformasi

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*