“Mama Minta Maaf Sebab Tak Jaga Fayyadh Baik-Baik, Saya Tak Menjangka Dia Akan Ditemui Dalam Keadaan Tidak Bernyawa”

Ibu kepada Muhammad Fayyadh Ukasyah Abdul Wahid, kanak-kanak autisme yang ditemui lemas dalam sebuah lombong di sini pada Selasa tidak dapat menahan pilu dan meratap hiba di sisi jasad anaknya itu. Nur Shamimi Abdul Malek 27, dilihat berulang kali meluahkan rasa tidak percaya anaknya itu sudah tiada sambil menzahirkan ucapan maaf.

“Mama minta maaf sebab tak jaga Fayyadh baik-baik,” katanya sambil mengusap jasad anaknya. Ketika ditemui pemberita, Nur Shamimi berkata, mereka sekeluarga sama sekali tidak menyangka arwah akan mendekati lombong berkenaan kerana kawasan itu telah berpagar.

Katanya, pada kebiasaan, anak kedua daripada lima beradik itu hanya bermain di taman permainan yang terletak kira-kira 80 meter dari rumah mereka di Taman Kinta Baru di sini sambil ditemani adik beradik yang lain.

“Kalau keluar je dari pagar rumah ini, memang ke taman permainanlah dia akan pergi, melompat sambil bermain papan gelongsor.

“Walaupun lombong berada dekat dengan taman permainan ini, dia dan anak-anak saya yang lain tak pernah pergi atau merayau di situ. Saya sama sekali tak menjangka dia akan ditemui di situ dalam keadaan tidak bernyawa kerana firasat saya mengatakan anak saya hanya ke taman permainan sahaja,” katanya.

kredit sinar harian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*