“Masa Baca Kisah Ibu Hamil Itu, Saya Berharap Ia Tidak Berlaku Pada Saya, Namun, Siapa Sangka”

Kota Tinggi: “Dalam hati memang sedih apabila orang tegur muka makin tua tapi saya kuatkan diri sebab fikirkan ini rezeki Allah beri selepas lapan tahun menanti,” kata ibu dua anak, Nur’Ain Mohd Ali, 28.

Nur’Ain memberi reaksi itu selepas perkongsiannya mengenai perubahan yang dialaminya pada kulit mukanya ketika hamil selepas ia membengkak sehingga kelihatan menggerutu dan berkedut tular di Facebook (FB) sejak semalam.

Menurutnya, ‘penangan’ hamil anak kedua itu juga menyebabkan badan serta mukanya dipenuhi jerawat disebabkan peningkatan kelenjar minyak pada kulit dan perubahan hormon.

Berkongsi mengenainya, Nur’Ain berkata, perubahan pada mukanya itu berlaku ketika kandungannya berusia tiga bulan.

“Mulanya dahi berkerut dan perlahan-lahan menjadi bengkak, kendur dan berkedut, bila pakai tudung pun penuh minyak di bahagian pipi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Zaki Izani banyak memberi kata semangat ketika berlaku perubahgan pada wajah Nur’Ain. Foto Ihsan Nur’Ain Mohd Ali

Dia bersyukur apabila suami, Zaki Izani Ramli, 37, ibu dan ibu mentuanya selalu beri kata positif sekali gus menguatkan semangat saya apabila dicemuh orang. Menurutnya, mereka juga selalu nasihatkan supaya bersabar kerana itulah pengorbanan seorang ibu.

Katanya, sebelum ini dia pernah terbaca kisah ibu hamil, Nor Sahira Dalim yang berubah wajah ketika mengandung pada tahun lalu dan tidak menyangka nasib serupa turut menimpanya.

“Masa baca kisah ibu hamil itu, saya cakap dalam hati kesiannya dekat dia dan berharap ia tidak berlaku pada saya nanti.

“Namun, siapa sangka saya pula yang terkena tetapi syukur Allah permudahkan proses bersalin Muhammad Zayn Darrish yang kini berusia empat bulan, tarikh bersalin juga cantik pada 21 Jun lalu,” katanya yang menetap di sini.

Dia yang juga anak ketiga daripada lima beradik berkata, dia satu-satunya ahli keluarga yang mengalami perubahan ekstrem pada wajahnya.

“Ketika hamil anak pertama tiada pula alahan teruk cuma ‘mabuk’ awal-awal saja. Kakak juga ada mengalami perubahan hidung mengembang dan kaki bengkak tetapi itu pun berlaku pada akhir kehamilan,” katanya.

Nur’Ain berkata, perkongsiannya di FB itu bukanlah bertujuan menakut-nakutkan wanita lain di luar sana sebaliknya hanya sekadar perkongsian agar mereka yang senasib turut tabah menghadapi ujian dalam fasa kehamilan yang mencabar.

“Dulu, saya tidak dibenarkan ambil apa-apa ubat untuk rawat wajah sebab takut akan menjejaskan kesihatan bayi dalam kandungan.

“Lepas bersalin dan dua bulan pantang, saya mula makan ubat yang disarankan doktor, Alhamdulillah kini wajah sudah seperti dulu tinggal parut jerawat saja,” katanya.

kredit harian metro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*