Penduduk Cemas Temui Bungkusan Bergerak-Gerak, Rupanya Bayi Yang Masih Hidup Dibuang

Bayi lelaki yang baru dilahirkan dan masih bernyawa ditemui ditinggalkan dalam plastik di hadapan sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), hari ini. Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu pada jam 9.15 pagi tadi.

Menurutnya, seorang lelaki warga tempatan menghubungi Balai Polis TTDI memaklumkan terjumpa bayi lelaki berkenaan yang masih hidup.

“Penyiasatan awal pihak polis di lokasi kejadian mendapati bayi yang dijumpai adalah bayi lelaki yang baru lahir. Bayi dalam keadaan cukup sifat itu dijumpai dalam plastik yang diletakkan di hadapan rumah berkenaan.

“Semakan pemilik rumah telah dibuat dan bayi berkenaan dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur bagi tujuan pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan bayi lelaki ini diminta hadir ke Balai Polis berhampiran untuk memberi keterangan. Maklumat lain berkaitan jenayah juga boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

kredit Malaysiapost

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*