Subhanallah! Inilah 5 Hikmah Yang Allah Janjikan Kepada Ibu Bapa dan Anak Yang Mengerjakan Ibadat Aqiqah

“Abang nanti anak lahir, kita buat kenduri aqiqah untuk dia ya.”

“Eh, kena buat ke? Mahal jugak nak beli 2 ekor kambing kalau yang lahir anak lelaki kan.”

Aqiqah ialah suatu ibadat berbentuk penyembelihan binatang tertentu sebagai tanda gembira dan bersyukur kerana kelahiran zuriat.

Hukum aqiqah dalam mazhab Syafi’e adalah sunat muakkadah iaitu sunat yang hampir kepada wajib. Tanggungjawab aqiqah dikenakan ke atas orang yang wajib memberi nafkah kepada anak yang diaqiqahkan iaitu bapa.

Bagi anak lelaki disembelih dua ekor kambing atau dua bahagian dari lembu atau unta. Bagi anak perempuan pula seekor kambing atau 1 bahagian lembu atau unta.

Dalil pensyariatan aqiqah ada disebutkan dalam hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dalam kitab sahihnya yang bermaksud:

“bersama anak yang dilahirkan ada aqiqahnya yang perlu dilaksanakan maka sembelihlah bagi pihaknya dan buanglah kotoran rambut dengan mencukur rambut anak itu.”

Bila waktu untuk aqiqah anak?

Sebaik sempurna kelahiran anak hingga baligh anak tersebut. Sunat dilakukan penyembelihan binatang untuk aqiqah pada hari ketujuh dari tarikh kelahiran bayi. Tetapi jika tidak dapat dilaksanakan boleh juga pada hari yang ke-17 atau ke-21. Tetapi jika masih tidak mampu maka bolehlah dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai mengikut kemampuan ibu bapa bayi.

Kebaikan menunaikan aqiqah untuk anak

Sabda Rasulullah saw dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud yang bermaksud:

“anak yang dilahirkan tergadai dengan aqiqahnya (bakti anak kepada ibu bapanya bergantung kepada aqiqah), maka disembelih aqiqahnya pada hari ketujuh dan pada hari itu juga diberi nama dan dicukur kepalanya”.

Maksud dari sabda Nabi saw tentang perkataan “tergadai” ada dua maksud yang disebut oleh ulamak iaitu anak akan membesar dan berbakti kepada ibu bapa adalah bergantung kepada aqiqah yang dilaksanakan untuknya.

Makna yang kedua ialah ibu bapa akan dapat kebaikan di akhirat dari anaknya bergantung kepada aqiqah sama ada dilaksanakan atau tidak.

Dari hadis tersebut jelaslah betapa pentingnya aqiqah untuk kebahagian ibu bapa dan anak. Jika ada anak yang susah dengar nasihat atau degil atau pada zahirnya menyusahkan ibu bapa maka perhatikanlah juga dari sudut aqiqah, adakah telah dilaksanakan atau belum. Jika telah dilaksanakan adakah ianya sempurna atau tidak.

Selain dari kebaikan tersebut yang diperolehi dari aqiqah, ulama juga menyatakan beberapa hikmah lain yang Allah sediakan dalam ibadat aqiqah, antaranya ialah:

1. Melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah kerana mengurniakan zuriat. Sebagai hamba kita wajib mensyukuri setiap nikmat yang Allah kurniakan dan pastinya Allah akan menambahkan lagi nikmat-nikmat yang lain.

2. Menimbulkan rasa gembira dengan nikmat Allah yang telah membantu memudahkan dan menyelamatkan ibu dan anak sepanjang proses mengandung hinga bersalin. Tanpa bantuan dan kasih sayang Allah, tiada siapa yang boleh membantu ibu dan anak.

3. Mendoakan anak supaya menjadi insan yang soleh/solehah, sentiasa diberkati kehidupannya dan berada dalam landasan kehidupan Islam sehingga ke akhir hayat.

4. Mengeratkan hubungan silaturrahim dengan memberi makan daging aqiqah kepadasaudara mara dan sahabat handai yang datang meraikan kenduri kesyukuran. Amalan ini dapat memberikan kebaikan lain seperti lapangnya rezeki, diberkati kehidupan dan lain-lain kebaikan lagi.

5. Menghidupkn sunnah. Dari ‘Amr bin ‘Auf bin Zaid al-Muzani r.a, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang menghidupkan satu sunnah dari sunnah-sunnahku, kemudian diamalkan oleh manusia, maka dia akan mendapatkan (pahala) seperti pahala orang-orang yang mengamalkannya, dengan tidak mengurangi pahala mereka sedikit pun”

Melihat kepada kelebihan yang Allah berikan kepada ibu bapa dan bayi yang diaqiqahkan, maka diharapkan bakal ibu bapa akan memasukkan bajet menjalankan aqiqah anak dalam senarai membuat persiapan kelairan bayi.

Sumber: equrban.com

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*