Tular Surat PAS Tandatangan Bersama WARISAN Sokong Hishammuddin Sebagai Perdana Menteri Ke 9, Ini Respon Padu PAS

PAS menafikan mempunyai sebarang kerjasama dua pihak dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk menyokong Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Perdana Menteri yang baharu. Penafian itu hadir selepas Warisan turut menyangkal isi kandungan kenyataan yang tular kononnya dikeluarkan bersama kedua-dua parti itu hari ini. Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata tuduhan tersebut adalah tidak benar dan surat yang tular di beberapa platform media sosial adalah palsu.

“Saya menafikan kenyataan tersebut dan ia telah mendapat pengesahan bahawa maklumat tersebut adalah palsu,” katanya seperti dilaporkan Harakahdaily. Beliau berkata, perkara itu turut disahkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Jawatankuasa Harian PAS Pusat bahawa maklumat itu adalah palsu.

Surat bertarikh hari ini tular kononnya PAS bersepakat bersama Warisan yang dipimpin Datuk Seri Shafie Apdal untuk menyokong Hishammuddin sebagai Perdana Menteri. Kandungan surat itu yang tertera tandatangan Takiyuddin dan Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr menyebut keputusan itu dibuat sebagai langkah menyelamatkan negara dari terus berada di dalam krisis kesihatan dan ekonomi. Terdahulu, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr menafikan sekeras-kerasnya kenyataan tersebut yang disifatkan sebagai fitnah dan turut memalsukan tandatangannya sebagai mewakili parti.

“Saya menyangkal sekeras-kerasnya isi kandungan kenyataan media PAS bertarikh 11 Jun 2021 tersebut. Saya sama sekali tidak pernah sama ada bagi pihak Warisan mahupun atas kapasiti peribadi untuk mempersetujui atau menandatangani apa-apa persetujuan muafakat bersama PAS untuk menyokong mana-mana individu sebagai Perdana Menteri. Warisan tidak pernah terlibat dengan kenyataan media itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

kredit Malaysiapost

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*